Perpaduan umat Islam sedunia kunci kemenangan Palestin

 

Keterujaan Zionis Yahudi merebut Baitulmaqdis menjadi episod duka yang panjang kerana di situ letaknya kota suci bagi tiga agama iaitu Islam, Judaisme dan Kristian.

Namun, kota diidamkan itu milik orang. British yang menjadi dalang dan membenarkan Zionis masuk ke bumi Palestin secara bebas.

Mengapa British memberi layanan baik kepada Zionis untuk menubuhkan negara Israel di bumi Palestin? Sebenarnya British terhutang budi dengan seorang tokoh bernama Chaim Weizmann.

Beliau memainkan peranan penting dalam Perang Dunia Pertama dan membantu British beroleh kemenangan. Sebagai balasan, British menganugerahkan bumi Palestin kepada Yahudi.

Selepas itu, British membuka pintu Palestin seluasnya buat bangsa Yahudi sehingga sedikit demi sedikit rakyat asal Palestin diusir keluar dari tanah mereka sendiri.

Mengapa negara Palestin menjadi sandaran sedangkan sebelum itu ada cadangan untuk menubuhkan negara Yahudi di Amerika Syarikat (AS) atau Afrika Selatan?

Palestin dipilih kerana lokasinya strategik yang mampu menjadi ‘negara kawalan’ di tengah dunia Islam. Tujuan Barat menjadikan Palestin negara kawalan untuk menidakkan segala usaha ke arah menjadikan Islam tamadun kuat di wilayah itu.

Dengan adanya negara kawalan, perpaduan orang Islam di Asia dan Afrika juga diharapkan terpisah dan inilah yang berlaku hari ini.

Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, sudah tentu Zionis menyambut baik Deklarasi Balfour diluluskan Parlimen British. Daripada situlah bermula pendudukan haram Yahudi di bumi Palestin yang menyaksikan banyak serangan berlaku antara rejim Israel dan Palestin.

Banyak negara mengecam rejim Zionis, namun apalah sangat kecaman semata-mata. Ada tangan sentiasa membantu mereka untuk merampas tanah Palestin daripada orang Islam.

Negara jiran Islam di sana pula hanya mampu melihat dan berdiam diri serta tidak ada tindakan konkrit diambil untuk membantu membebaskan tanah Palestin daripada dijajah. Puncanya, takut hubungan dengan AS menjadi dingin.

Malah negara Arab seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Jordan menjalinkan hubungan dengan rejim Israel yang akhirnya merugikan rakyat Palestin.

Jika diimbau sejarah, masalah dalaman negara Islam juga membolehkan British menawan bumi Palestin. Ketika itu, pembabitan Hijaz (tanah Arab) diketuai Sharif Husin bangkit membebaskan rakyat mereka daripada pemerintahan Turki Uthmaniyah.

Beliau berpakat dengan British untuk menjatuhkan kerajaan Turki Uthmaniyah.

Sebagai balasan, British berjanji memberi kuasa kepada Sharif Husin untuk mentadbir tanah Arab sepenuhnya.

Namun, ibarat keluar mulut harimau, masuk mulut buaya, perkara sebaliknya berlaku. Lihat apa berlaku antara Hamas dan Fatah di Palestin. Kedua-keduanya memiliki ideologi berbeza dan dilihat menjadi beban ke arah membebaskan bumi Palestin daripada Zionis.

Tidak sesiapa mampu menyangkal pentingnya perpaduan. Ia kekuatan yang akan menyelesaikan banyak perkara, termasuklah kekejaman Israel di Palestin. Negara Islam perlu bangkit bersama menentang Israel, bukan sekadar mengecam sekeras-kerasnya.

Bantuan kewangan, makanan dan sebagainya amat diperlukan bagi meneruskan kelangsungan hidup rakyat Palestin. Sokongan moral juga mesti diteruskan dan diperhebat bagi menguatkan semangat rakyat Palestin dan melemahkan Zionis.

Umat Islam juga perlu mengambil tahu apa yang berlaku di bumi Palestin kerana orang yang sedang dianiayai adalah saudara Muslim kita.

Barisan ilmuwan dan akademik serta mereka yang memahami kemelut melanda bumi Palestin perlu berkongsi ilmu, memastikan akidah umat Islam tidak terpesong dan dimomokkan fahaman salah tentang apa sebenarnya berlaku di sana.

Tidak guna ada kemenyan sebesar lutut jika tidak dibakar kerana ia tidak akan berbau. Sia-sia seseorang ada ilmu, tetapi hanya disimpan dan tidak dikongsi bersama yang lain. -Berita Harian

Pensyarah Dasar Awam, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Raub

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
13
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts