Persoalan hukum sekitar isu COVID-19

 

Berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan di luar wad atas faktor ruang yang terhad serta terdapat di kalangan pelawat yang memakai pakaian berlengan pendek. Adakah hal yang demikian dimaafkan?

Jawapan: Secara umumnya, sebarang bentuk pergaulan yang melibatkan percampuran antara lelaki dan perempuan adalah tidak dibenarkan. Bagaimanapun, dalam ruang yang terhad maka pihak hospital berhak menghadkan bilangan pelawat dan langkah tersebut perlu dilakukan. Mana-mana pelawat yang memakai pakaian berlengan pendek adalah dinasihatkan untuk memakai sarung lengan atau mengenakan baju berlengan panjang. Dalam hal ini, perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah pelawat sedang berhadapan dengan situasi untuk menyelamatkan pesakit yang kesan dari penyakit tersebut boleh mengakibatkan ancaman kepada nyawa. Kaedah fiqh ada menyebutkan:

الضرورات تبيح المحظورات

Maksudnya: “Darurat itu mengharuskan perkara yang merbahaya.”

Sebagai saranan, hand sanitizer hendaklah dibekalkan kepada para pelawat khususnya yang berada di kawasan menunggu sebelum diberi keizinan masuk untuk melawat. Sekiranya difikirkan perlu maka pihak hospital boleh menyediakan baju khas seperti yang dipakai oleh pelawat di wad ICU sebagai langkah pencegahan.

2. Adakah sah solat sekiranya para petugas (frontliners) memakai pampers kerana terdapat kesulitan untuk keluar dari premis?

Jawapan: Solat tersebut sah sekiranya pampers yang dipakai dalam keadaan yang bersih dan suci dari sebarang kesan najis. Bagaimanapun, jika terdapat kesulitan (masyaqqah) seperti waktu yang amat terhad untuk keluar dari premis dan sebagainya yang menyebabkan petugas terpaksa qadha hajat di dalam pampers dan tidak mampu membersihkannya maka diharuskan menunaikan solat dalam keadaan yang sedemikian sekadar menghormati waktu (solat hormat waktu).

Namun, solat berkenaan hendaklah digantikan pada waktu yang lain. Ia adalah berdasarkan pandangan al-Imam al-Nawawi menerusi kitab al-Majmu‘ jilid tiga pada halaman 144 seperti yang berikut:

فإذا كان على بدنه نجاسة غير معفو عنها وعجز عن إزالتها وجب أن يصلي بحاله لحرمة الوقت لحديث أبي هريرة رضى الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: “وإذا أمرتكم بشيء فأتوا منه ما استطعتم” رواه البخاري ومسلم. وتلزمه الإعادة لما ذكره المصنف

Maksudnya: “Apabila tubuh badan mengandungi najis yang tidak boleh dimaafkan serta sukar untuk menghilangkannya maka hendaklah ia menunaikan solat dalam keadaan yang sedemikian sebagai menghormati waktu berdasarkan hadis dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah ﷺ telah bersabda: “Apabila aku memerintahkan kamu dengan sesuatu perintah maka hendaklah kamu melaksanakannya berdasarkan kemampuanmu.” Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan dan Muslim. Dan wajib ke atasnya untuk mengulangi semula solat berkenaan berdasarkan pandangan penulis.”

Berdasarkan hadis di atas, kaedah istinbat hukum bagi solat hormat waktu adalah berdasarkan kondisi yang terdapat dalam persoalan di atas iaitu masyaqqah (kesulitan) atau kesuntukan waktu untuk keluar dari premis. Oleh yang demikian, ia dimaafkan namun wajib diqada solat berkenaan.

Situasi darurat yang terdapat dalam kondisi ini ialah para petugas (frontliners) sedang berhadapan dengan situasi untuk menyelamatkan pesakit yang memungkinkan ancaman terhadap nyawa petugas (frontliners) itu sendiri. Hal ini berdasarkan kaedah fiqh:

الضرورات تبيح المحظورات

Maksudnya: “Darurat itu mengharuskan perkara yang merbahaya.”

3. Adakah dimaafkan kepada petugas yang menunaikan solat dengan pakaian yang terkena percikan najis dan darah yang sedikit semasa mengendali pesakit di ICU? Adakah perlu untuk dibasuh terlebih dahulu atau menukarkannya dengan pakaian yang lain?

Jawapan: Sebaik-baiknya bahagian yang terkena percikan darah atau najis itu hendaklah dibasuh terlebih dahulu sebelum menunaikan solat. Hal ini adalah bersandarkan hadis yang berikut:

وإذا أمرتكم بشيء فأتوا منه ما استطعتم

Maksudnya: “Apabila aku memerintahkan kamu dengan sesuatu perintah maka hendaklah kamu melaksanakannya berdasarkan kemampuanmu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Jika sekiranya percikan najis atau darah hanya sedikit dengan keadaan masa yang kesuntukan maka diharuskan menunaikan solat dalam keadaan yang sedemikian. Oleh itu, isu ini dikategorikan sebagai ‘umum al-balwa.” Berdasarkan nas yang dinyatakan dalam kitab Anwar al-Masalik Syarh ‘Umdah al-Salik wa ‘Iddah al-Nasik halaman 56:

وأما الدم والقيح، فإن كان من أجنبي عفي عن يسيره، وإن كان من المصلي عفي عن قليله وكثيره

Maksudnya: “Dan adapun mengenai darah dan nanah, jika sekiranya ia dari seseorang maka dimaafkan dalam kadar yang sedikit. Jika orang yang menunaikan solat dimaafkan akan hal yang demikian sama ada pada kadar yang sedikit mahupun banyak.”

4. Adakah sah solat bagi pesakit yang memakai pampers? Bolehkah dengan keadaan yang sedemikian ia menunaikan solat hormat waktu?

Jawapan: Sekiranya pampers yang dipakai itu boleh dibersihkan maka hendaklah ia dibersihkan terlebih dahulu daripada najis sebelum menunaikan solat. Namun, jika terdapat kesulitan untuk melakukannya maka diharuskan menunaikan solat dalam keadaan yang sedemikian sekadar menghormati waktu (solat hormat waktu).

Namun, solat berkenaan hendaklah digantikan pada waktu yang lain. Ia adalah berdasarkan pandangan al-Imam al-Nawawi menerusi kitab al-Majmu‘ jilid tiga pada halaman 144 seperti yang berikut:

فإذا كان على بدنه نجاسة غير معفو عنها وعجز عن إزالتها وجب أن يصلي بحاله لحرمة الوقت لحديث أبي هريرة رضى الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: “وإذا أمرتكم بشيء فأتوا منه ما استطعتم” رواه البخاري ومسلم. وتلزمه الإعادة لما ذكره المصنف،

Maksudnya: “Apabila tubuh badan mengandungi najis yang tidak boleh dimaafkan serta sukar untuk menghilangkannya maka hendaklah ia menunaikan solat dalam keadaan yang sedemikian sebagai menghormati waktu berdasarkan hadis dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah ﷺ telah bersabda: “Apabila aku memerintahkan kamu dengan sesuatu perintah maka hendaklah kamu melaksanakannya berdasarkan kemampuanmu.” Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan dan Muslim. Dan wajib ke atasnya untuk mengulangi semula solat berkenaan berdasarkan pandangan penulis.”

Berdasarkan hadis di atas, kaedah istinbat hukum bagi solat hormat waktu adalah berdasarkan kondisi yang terdapat dalam persoalan di atas iaitu masyaqqah (kesulitan) untuk membersihkan najis berkenaan. Oleh yang demikian, ia dimaafkan namun wajib diqada solat tersebut.

5. Bagaimanakah kaifiat solat sekiranya harus dengan bertayammum? Sedangkan dalam masa yang sama perlu memakai face shield?

Jawapan: Bagi perawat yang menggunakan face shield serta hukum bertayammum ke atas mereka ada dua pandangan:

1. Pemakaian face shield bagi anggota perawat akan memberi suatu kesukaran bagi mereka apabila terpaksa menanggalkannya dalam situasi yang sulit terutama dalam tempoh waktu yang singkat. Oleh itu, memadai dengan bertayammum di atas kawasan muka yang juga termasuk face shield yang dipakai oleh mereka serta pakaian yang membaluti tangan. Walaupun pemakaian face shield dan jabirah (pembalut) adalah berbeza namun kedua-duanya mempunyai persamaan dari sudut keperluan iaitu darurat. Hal ini bersandarkan hadis yang berikut:

وإذا أمرتكم بشيء فأتوا منه ما استطعتم

Maksudnya: “Apabila aku memerintahkan kamu dengan sesuatu perintah maka hendaklah kamu melaksanakannya berdasarkan kemampuanmu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Namun begitu, disyaratkan agar pakaian yang dipakai atau face shield hendaklah dalam keadaan bersih jika mampu. Sekiranya tidak mampu untuk berbuat demikian maka ia dimaafkan. Manakala solat yang ditunaikan tidak perlu diqada. Di dalam kitab Mughni al-Muhtaj, jilid pertama pada halaman 169 dinyatakan seperti yang berikut:

وإن كان) بالأعضاء أو بعضها (ساتر) كجبيرة (لم يقض في الأظهر إن وضع) الساتر (على طهر) لأنه أولى من المسح على الخف للضرورة هنا. والثاني:( يقضي؛ لأنه عذر نادر غير دائم. هذا إذا لم تكن الجبيرة على محل التيمم وإلا وجب القضاء؛ قال في الروضة: بلا خلاف .لنقض البدل والمبدل جميعا، ونقله في المجموع كالرافعي عن جماعة؛ ثم قال: وإطلاق الجمهور يقتضي أنه لا فرق اهـ. وما في الروضة أوجه لما ذكر.

(فإن وضع) الساتر (على حدث) سواء أكان في أعضاء التيمم أم في غيرها من أعضاء الطهارة؛ (وجب نزعه) إن أمكن بلا ضرر يبيح التيمم؛ لأنه مسح على ساتر، فاشترط فيه الوضع على طهر كالخف. وقيل: لا يجب للضرورة؛ والمراد طهارة ذلك المحل فقط، ولا ينافي ذلك قولهم كالخف، إذ المشبه قد لا يعطي حكم المشبه به من كل وجه، لأن الجبيرة وضعت للضرورة، ويجب استيعابها بالمسح، وإذا نزع إحدى الجبيرتين لا يجب عليه نزع الأخرى بخلاف الخف في ذلك. وقد يوهم تخصيص وجوب النزع بالوضع على حدث أنه لا يجب نزعه إذا وضع على طهر ولا ضرر عليه في نزعه، وليس مرادا بل يجب نزعه أيضا. وإنما يفترق الحال عند تعذر النزع في القضاء وعدمه كما نبه على ذلك بقوله: (فإن تعذر) نزعه مسح وصلى (قضى على المشهور) لفوات شرط الوضع على طهارة؛ فانتفى تشبيهه حينئذ بالخف؛ والثاني: لا يقضي للعذر. وهذا كله على الجديد، أما على القديم المختار عند المصنف فلا قضاء كما سبق. وكان ينبغي أن يقول: (على المذهب) فإن الأصح القطع بالقضاء

Maksudnya: “Jika sekiranya sesuatu anggota atau sebahagiannya (terdapat penghalang) seumpama pembalut (maka solat tersebut tidak diqada menurut pandangan yang azhar (1)) penghalang (dalam keadaan yang bersih) kerana ia lebih utama dari menyapu di atas khuf (kasut) atas faktor darurat. Kedua: diqada solat berkenaan kerana keuzuran yang jarang berlaku serta tidak bersifat kekal. Pandangan ini dengan melihat bahawa pembalut tersebut bukanlah faktor untuk bertayammum jika tidak maka wajib diqadakan solat berkenaan. Telah berkata al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Raudhah: Tanpa terdapatnya khilaf atas sebab kurangnya gantian serta perubahan keseluruhan dan beliau (al-Imam al-Nawawi) telah menaqalkan pandangannya itu di dalam kitab al-Majmu‘. Demikian juga hal yang sama dilakukan oleh al-Imam al-Rafi‘i daripada riwayat jamaah. Kemudian al-Imam al-Nawawi telah berkata: Jumhur ulama berpandangan bahawa ia perlu diqada tanpa sebarang percanggahan. Pandangan yang terdapat dalam kitab al-Raudah adalah awjuh(2) seperti mana yang telah dinyatakan. (Jika diletakkan) penghalang (dalam satu keadaan) sama ada pada anggota tayammum atau selainnya dari anggota toharah (wajib ditanggalkan penghalang itu) sekiranya mampu tanpa terdapatnya darurat yang mengharuskan bertayammum kerana menyapu di atas penghalang. Oleh itu, disyaratkan penghalang tersebut hendaklah dalam keadaan yang bersih sepertimana hal keadaannya menyapu khuf. Turut dikatakan: tidak wajib membersihkan penghalang itu atas faktor darurat. Dan yang dimaksudkan bersih di sini ialah pada tempat yang berkenaan sahaja. Ia tidak ternafi oleh pandangan jumhur mengenai isu khuf. Hal yang sama tidak diberi hukum yang serupa dari setiap sudut kerana pembalut digunakan atas tujuan darurat. Maka, wajib diberi makna penggunaannya sepertimana hal keadaan menyapu. Apabila gugurnya salah satu dari dua pembalut tersebut maka tidak diwajibkan ke atas seseorang itu untuk menanggalkan pembalut yang lain yang berbeza hukumnya dalam masalah khuf. Kadang kala, disangka secara halus bahawa wajib menanggalkan pembalut itu sedangkan dalam masa yang sama tidak wajib pula menanggalkannya apabila ia dalam keadaan yang bersih tanpa sebarang darurat apabila menanggalkan balutan tersebut. Dan ia bukanlah demikian bahkan wajib menanggalkannya juga. Apabila jelas perbezaan tersebut semasa terdapatnya keuzuran untuk menqadakan solat dan ketiadaan keuzuran seperti mana yang telah dinyatakan sebelum ini dengan perkataan (jika sekiranya uzur) ia ditanggalkan lalu disapu (tayammum) serta terus menunaikan solat (diqadakan menurut pandangan yang masyhur(3)) kerana tertinggal syarat iaitu hendaklah dalam keadaan yang bersih. Oleh itu, ternafilah perumpamaan tersebut ketika itu dengan hal menyapu khuf. Perkara yang kedua iaitu tidakl diqada akan solat kerana keuzuran. Hal ini semuanya merupakan isu qaul jadid(4) (baru). Adapun qaul qadim(5) (lama) yang merupakan pilihan penulis ialah tidak diqada seperti mana yang telah dibahaskan terdahulu. Maka, dituntut dalam ini iaitu: berdasarkan penelitian mazhab Syafie jika pandangan tersebut lebih kuat (asah)(6) maka diputuskan bahawa solat tersebut perlulah diqada.”

2. Pemakaian face shield adalah tidak sama jika dikaitkan dengan faktor kecederaan. Maka, face shield tersebut hendaklah ditanggalkan semasa hendak bertayammum supaya debu tanah tersebut mengenai keseluruhan bahagian muka serta kedua-dua anggota tangan. Jika sekiranya bertayammum di atas pakaian face shield semata-mata maka ia adalah tidak sah.

Sekiranya tidak memenuhi syarat sah solat seperti tidak berwuduk atau bertayammum maka perawat hendaklah solat menghormati waktu berdasarkan hadis yang berikut:

وإذا أمرتكم بشيء فأتوا منه ما استطعتم

Maksudnya: “Apabila aku memerintahkan kamu dengan sesuatu perintah maka hendaklah kamu melaksanakannya berdasarkan kemampuanmu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Oleh itu, solat berkenaan wajib diqada pada waktu yang lain.

Manakala bagi isu sujud dengan berpakaian face shield, maka atas keperluan yang bersifat daruriyy (darurat) sah hukumnya sujud dengan berpakaian yang sedemikian. Hal ini bersandarkan nas dari kitab al-Majmu‘ jilid tiga pada halaman 399:

وكذا لو سجد وعلى جبهته ثوب مخرق فمس من جبهته الأرض أجزأه، نص عليه في الأم واتفقوا عليه، ويجئ فيه الوجه الذي حكاه ابن كج.

Maksudnya: “Dan demikian juga sekiranya sujud dalam keadaan dahi berlapik dengan pakaian yang longgar maka hal yang demikian (dahi yang berlapik dengan pakaian longgar tersebut) memadai (sah sujud tersebut), inilah yang telah dinaskan di dalam kitab al-Umm yang telah disepakati akan hukumnya, malah pandangan berkenaan telah dihikayatkan oleh Ibnu Kajj.”

Sekiranya petugas mempunyai jangka waktu yang singkat untuk menunaikan solat maka diharuskan untuk ditunaikan solat secara jamak. Namun dalam hal ini, ia perlu ditinjau dalam pelbagai situasi:

1. Jika dibebani oleh kekangan waktu dan hanya berkemampuan untuk melaksanakan solat pada pengakhiran waktu maka harus dilaksanakan solat dengan cara dilewatkan pelaksanaan solat Zohor atau Maghrib sehingga ke akhir waktu serta solat Asar dan Isyak di awal waktu.

2. Ketika keadaan mendesak, sulit atau sukar (masyaqqah) untuk melaksanakan solat secara sempurna (tamam) atau di akhir waktu maka diberi keringanan kepada petugas dan orang yang sakit seperti berikut:

i. Melaksanakan solat jamak tanpa qasar sama ada jamak taqdim sekiranya dijangka kesukarannya atau sakitnya akan menghalangnya atau menyukarkannya pada waktu Asar;

ii. Melaksanakan jamak takhir sekiranya dijangka kesukaran atau sakitnya akan menghalangnya atau menyukarkannya pada waktu Zohor.

iii. Namun, sekiranya tidak mampu juga untuk melaksanakan solat kerana darurat bagi menyelamatkan nyawa pesakit yang membawa kepada luputnya waktu solat atau kesukaran menanggalkan pakaian khas untuk berwuduk atau bertayammum maka hendaklah dilaksanakan solat hormat waktu secara jamak takhir dan hendaklah diulang secara sempurna pada masa yang lain.

[1] Pendapat yang lebih kuat dari dua atau lebih dari pendapat-pendapat al-Imam al-Syafie. Ia juga turut bermaksud sejenis pendapat yang bersesuaian kepada dalil)

[2] Pendapat yang dikemukakan oleh ashab (pengikut) al-Imam al-Syafie lalu dinisbahkan kepada mazhab Syafie.

[3] Pendapat yang lebih kuat dari dua atau lebih dari pendapat al-Imam al-Syafie yang bertentangan.

[4] Pendapat yang dikemukakan oleh al-Imam al-Syafie semasa berada di Mesir.

[5] Pendapat yang dikemukakan oleh al-Imam al-Syafie semasa berada di Iraq.

[6] Hukum atau pendapat yang lebih kuat di kalangan pendapat ashab (pengikut) al-Imam al-Syafie.

Sahibus Samahah Datuk Hj Zamri Hashim
Pengerusi MUIS,
Timbalan Mufti Perak

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts