Pusat Rawatan TH Madinah miliki fasiliti lengkap sedia berkhidmat untuk jemaah

Pusat Rawatan Tabung Haji (TH) Madinah yang menjadi premis pertama memperoleh kebenaran pengoperasian pusat kesihatan untuk jemaah haji dari kerajaan Arab Saudi, dilengkapi pelbagai kemudahan dan doktor pakar.

Pengarah Operasi Madinah (Perubatan) Dr Abdul Jalil Ahmad berkata pusat rawatan berkenaan dilengkapi kemudahan antaranya wad dengan kapasiti 33 katil, unit kecemasan, x-ray, fisioterapi, ambulans dan makmal perubatan.

Beliau berkata pusat rawatan yang beroperasi 24 jam melibatkan keseluruhan 59 petugas itu turut menempatkan doktor pakar kecemasan, bius, perubatan keluarga dan kesihatan awam.

“Pusat Rawatan Madinah ini boleh dikategorikan sebagai sebuah hospital rujukan daripada klinik-klinik yang terdapat di zon (hotel penginapan jemaah haji Malaysia) kerana kita mempunyai kepakaran tertentu,” katanya kepada BERNAMA.

Menurutnya, jika jemaah haji yang dibawa ke pusat rawatan berkenaan tidak dapat distabilkan, memerlukan pemeriksaan lanjut atau pembedahan, pihaknya akan merujuk pesakit berkenaan ke hospital Arab Saudi.

Selain itu, Dr Abdul Jalil berkata pihaknya juga mempunyai pasukan perubatan terminal haji yang ditempatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad bin Abdulaziz di sini.

Beliau berkata pasukan tersebut akan melakukan saringan kesihatan secara cepat terhadap jemaah haji yang tiba dari Malaysia sebelum mereka menaiki bas ke hotel penginapan masing-masing.

“Pasukan ini berada di lapangan terbang sebab mereka boleh tengok keadaan jemaah haji bila keluar daripada pesawat kita boleh nampak jemaah haji itu sedang sakit dada, atau sesak nafas atau berjalan terhuyung-hayang sebab ada jemaah haji tertinggal makan ubat,” katanya menambah pasukan tersebut akan memberikan rawatan segera jika berlaku situasi berkenaan.

Sementara itu, dalam makluman lain, bagi dua tahun berturut-turut, Malaysia menjadi negara pertama memperoleh kebenaran pengoperasian pusat kesihatan untuk jemaah haji dari kerajaan Arab Saudi.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata pusat kesihatan Tabung Haji (TH) di Madinah lulus saringan dan pemeriksaan ketat Kementerian Kesihatan Arab Saudi pada 25 Mei lepas.

“Ini satu pengiktirafan yang diberikan kepada perkhidmatan kesihatan dan juga menunjukkan persediaan kita serta fasiliti yang ada telah mencapai satu tahap tinggi yang membolehkan kepada kebenaran beroperasi ini,” ujarnya.

Jelasnya lagi, saringan pada tahun ini lebih ketat berbanding tahun lepas dengan negara perlu memenuhi kriteria dari segi fasiliti, peralatan, ruang beroperasi, jumlah pakar perubatan dan pengurusan sisa klinikal.

Syed Saleh berkata amalan dan prosedur operasi standard (SOP) sektor kesihatan Malaysia membantu kelulusan berkenaan, selain hubungan baik Malaysia-Arab Saudi khususnya rombongan haji negara dengan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

“Dari segi nisbah kemudahan yang disediakan seperti katil dan doktor dengan jumlah jemaah haji, saya rasa kita tidak dapat menafikan bahawa kita yang terbaik dan tertinggi berbanding dengan pihak lain,” katanya.

Sementara itu, Syed Saleh memaklumkan seramai 9,078 jemaah haji telah tiba di Tanah Suci menaiki 30 penerbangan dengan 6,112 kini berada di Madinah dan 2,966 di Mekah.

Beliau berkata setakat ini, enam jemaah haji dimasukkan ke wad pusat kesihatan TH di Madinah manakala dua di Hospital Arab Saudi di Mekah akibat masalah kesihatan.

Menurutnya seorang daripada jemaah cedera di kaki akibat terjatuh manakala yang lain mengalami jangkitan paru-paru dengan kesemua mereka yang berumur 60 tahun ke atas berada dalam keadaan stabil.

Katanya, ahli keluarga telah dimaklumkan mengenai situasi jemaah haji berkenaan. – Sinar Islam Plus

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts