home Semasa Rancang projek luar kotak pendidikan agama

Rancang projek luar kotak pendidikan agama

 

BUAT seluruh warga pendidik anak-anak berumur 12 tahun ke bawah, ibu bapa dan guru-guru muslim.

Ke mana sebenarnya hala tuju pendidikan kita?

Apakah tujuan utama kita dalam mendidik?

Melihat kepada situasi semasa, masa anak-anak lebih banyak di rumah tetapi ini tidak mengurangi tanggungjawab guru-guru.

Ini adalah peluang untuk kerjasama yang baru, nafas baru kerja dalam kumpulan, antara ibubapa dan guru. Orang dewasa yang waras dan sihat tubuh badan.

Tiba masanya pendidikan agama anak-anak bukan hanya sekadar amali solat dan teori di kelas. Banyak projek luar kotak boleh dirancang di lapangan. Kita sangat memerlukan nafas baru dalam pemantapan akidah yang sesuai dengan zaman mereka.

Pendidikan agama juga bukan hanya terbatas pada subjek Pendidikan Islam. Di kelas Matematik juga kita boleh bertanya kepada mereka mengapa ada angka-angka yang Allah mahu kita perhatikan. 7 hari penciptaan langit dan bumi, gandaan 7/10 kali pahala, kumpulan yang kecil melawan kumpulan yang besar.

Ya, itulah kaedah yang kita hilang untuk pemantapan akidah mereka. Cerita-cerita dari Al-Quran, manual hidup kita. Hakikatnya, akidahlah senjata yang paling kebal melawan arus nafsu yang menggila.

Suara pengamal pendidikan awal kanak-kanak perlu didengari dan diteliti dengan cermat kerana merekalah asas pertama yang lebih memahami perkembangan anak-anak ini terutama sekali perkembangan emosi.

Hidup di zaman mereka tak sama dengan hidup di zaman kita. Akses kepada budaya buruk dan jijik hanya dengan satu klik. Ilmu memilih, yang mana baik dan yang mana buruk adalah kemahiran ampuh yang perlu mereka miliki, hasil dari pembenihan akidah yang murni.

Inilah masa terbaik untuk menggali dan menggilap potensi mereka. Terlalu banyak potensi dan bakat yang boleh dimanfaatkan.

Tinggalkan penilaian berasaskan gred, kita cungkil bakat mereka satu persatu. Mereka adalah pemimpin masa hadapan yang perlu cekap menghadapi zaman mereka dengan kemahiran kepimpinan yang sangat dikehendaki.
Kita tidak mahu pemimpin separuh masak seperti zaman kita yang tamakkan pangkat dan harta. Cabaran politik negara dan antarabangsa di zaman mereka akan lebih mencabar, adakah kita telah persiapkan mereka dengan sebaiknya?

Ya, ia bermula dari julat umur atau fasa emas kanak-kanak 12 tahun kebawah. Bukan anak-anak yang 10 tahun telah terlibat dengan dadah, rogol dan pornografi. Mereka sangat naif. Kitalah harapan mereka. Kitalah yang bertanggungjawab melakukan semua ini kepada mereka. Inilah punca kepada semua cabaran yang kita hadapi.

Mari kita mulakan hari ini. Dengan menekuni kembali apa yang Allah turunkan dalam Al-Quran.

Dahaga yang kita rasakan hanya akan terisi dan dinikmati dengan ayat-ayat Allah seperti turunnya hujan di tengah padang pasir.

Salam Nuzul Quran.
Hari dimana turunnya Al-Quran
17 Ramadan 1442H.

Catatan ikhlas dari seorang ibubapa pendidik,

Suhaily Johari
Ahli Jawatankuasa Kelab Anak-Anak Hebat (NAZIM) Kajang
Bekas Ketua NAZIM Pusat

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

 

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *