KUALA TERENGGANU: Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) disaran menyediakan slot keagamaan kepada mangsa banjir, terutama kanak-kanak jika menetap lama di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berpendapat, pendekatan itu amat sesuai bagi memberi kekuatan moral kepada mangsa yang kini ditimpa ujian dengan bencana banjir.
“Sekiranya mangsa lama menetap di sini, mungkin pengisian (program berbentuk) kerohanian dan keagamaan boleh dilaksanakan, terutama kepada mangsa dan anak-anak untuk memberi mereka kekuatan dalam menghadapi ujian.
“Malah, MPKK boleh mengambil langkah ini sekiranya mangsa berada di PPS lebih daripada sehari,” katanya ketika ditemui selepas melawat PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gasing, Marang, malam ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Samsuri berpuas hati dengan pengurusan bencana di PPS dan mengucapkan terima kasih kepada semua agensi yang terbabit termasuk MPKK yang disifatkannya cemerlang dalam melaksanakan tanggungjawab.
“MPKK adalah nadi kepada orang kampung. Tugas yang dipikul mereka sangat baik dan cemerlang bukan sahaja di Marang, malah di seluruh negeri,” katanya.
Difahamkan, Ahmad Samsuri meluangkan masa melawat tiga PPS yang beroperasi di daerah Marang yang menempatkan lebih 400 mangsa banjir. – Berita Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)