Syariat Islam berpadu dalam watan tempatan

 

DALAM siri lalu, kedudukan Kanun Melaka sebagai Perlembagaan Tanah Melayu telah dibincangkan.

Ciri-ciri Perlembagaan sesebuah kerajaan amat penting kerana ia adalah satu kaedah mengenal pasti konsep kedaulatan yang dijunjung.

Pakar Perlembagaan tempatan bersetuju, pentakrifan kedaulatan Raja-Raja Melayu hendaklah dilihat dari aspek jurispruden, pegangan kepercayaan dan unsur watan yang membina ketatanegaraan Tanah Melayu sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Apabila Raja Melaka menganut ajaran Islam, pegangan hidup, tatacara dan gaya kehidupan pemerintah dan rakyat mula mengalami proses penjernihan sehinggalah Kesultanan Melayu Melaka berjaya dibangunkan sebagai pusat penyebaran agama Islam terkemuka di Asia Tenggara.

Kenyataan itu diakui Tun Mohd Salleh Abas dalam kes Che Omar Che Soh lawan Pendakwaraya.

Beliau mengatakan, sebelum kedatangan British, Sultan bukan sahaja ketua agama bagi negeri masing-masing bahkan ketua politik, mereka beragama Islam begitu juga rakyat baginda dan undang-undang terpakai adalah Islam.

Sultan dianggap wakil Allah SWT di atas bumi, diamanahkan dengan kuasa memerintah negeri berdasarkan undang-undang Islam dan memastikannya dikuatkuasakan.

Justeru, rencana ini mengemukakan sebahagian fakta menyokong legitimasi konsep kedaulatan Raja-Raja Melayu itu berteraskan syariat Islam.

Rumusan itu dibuat kerana kedaulatan watan diwarisi daripada Kesultanan Melayu Melaka dibina atas konsep kedaulatan Islam.

Fakta utama menyokong penerimaan konsep itu adalah status Islam itu sendiri sebagai undang-undang watan dan Kanun Melaka adalah Perlembagaan Tanah Melayu.

Perundangan Islam

Islam sebagai undang-undang watan Tanah Melayu dikemukakan secara ringkas dalam tiga bentuk; penginstitusian perundangan Islam, pengaruh Islam dalam pemerintahan dan penguatkuasaan perundangan Islam.

Penginstitusian perundangan Islam dibuktikan melalui peruntukan Kanun Melaka.

Menurut Datuk Dr Abdul Monir Yaacob, hukum Syarak dalam kanun itu berdasarkan ‘fiqh as-Shafei’ terjemahan kitab feqah bertajuk Fath al-Qarib.

Undang-undang Melaka yang dikaji Professor Dr Liaw Yock Fang versi Biblioteca Apostolica Vaticana mengandungi 48 fasal.

Menurut Dr Jelani Harun, pengukuhan pegangan dan amalan orang Melayu dengan perundangan Islam membawa kepada penyalinan dan penulisan manuskrip syariah.

Antaranya, Mir’at al-Tullab, Safinat al-Hukkam, Kitab Faraid dan Kitab Bab al-Nikah.

Nasihat berhubung adab ketatanegaraan Islam dimasukkan dalam mukadimah Undang-Undang Pahang, Undang-Undang Raja Nati dan Undang-Undang Indragiri.

Ulama dan pembesar berperanan menasihati Raja amal ciri kehakiman mengikut prinsip Islam.

Perkukuh pemerintahan

Pengaruh Islam dalam pemerintahan Kerajaan Empayar Melayu Melaka amat besar.

Pengkaji bersetuju Islam tidak menghapuskan corak pemerintahan tradisi Melayu Tua Melaka secara total.

Sebaliknya, Islam mengukuhkan lagi pemerintahan beraja di Melaka dengan konsep kedaulatan baharu dan status kemuliaan Raja sebagai bayangan Tuhan sekali gus menjadikan seseorang Raja terikat dengan aqidah, prinsip perundangan dan sistem politik Islam.

Bahkan, sejak zaman pemerintahan Parameswara, inisiatif mengembangkan ajaran Islam ke negeri lindungan Melaka sudah bermula.

Kebangkitan Kerajaan Melayu Melaka sebagai sebuah pemerintahan berdaulat dan pusat penyebaran Islam terkenal di Asia Tenggara dalam tempoh 10 tahun selepas Raja Melaka pertama menganut Islam sewajarnya dijadikan ukuran komitmen Raja-Raja Melaka dan pembesar baginda pada Islam.

Selain perubahan dari sudut politik, Islam juga diterima sebagai premis menetapkan semula nilai moral, menjernihkan kepercayaan dan mengamalkan muamalat diredai Allah SWT; contohnya, amalan riba dan bentuk penindasan lain dihapuskan secara berperingkat.

Tulisan jawi menjadi tulisan rasmi dan pendidikan melalui al-Quran berjaya membina tamadun Melayu dihormati.

Upacara membesarkan hari kebesaran Islam diadakan dan tulisan jawi menjadi satu bukti ketamadunan Melayu.

Konsep dan prinsip kedaulatan terus dilestarikan walaupun selepas Kota Melaka ditawan.

Penulisan seperti Taj us-Salatin, Bustan al-Salatin, Tuhfat al-Nafis, Muqaddimah fi Intizam al-Wazaif al-Muluk, Thammarat al-Muhimmah Diyafah li al-Umara’ wa al-Kubara’ li-Ahl al-Mahkamah dan Gurindam Dua Belas menjadi bukti konsep kedaulatan Islam sudah sebati dalam pemikiran tempatan.

Penguatkuasaan perundangan Islam boleh dilihat dalam beberapa bentuk, antaranya; prinsip perundangan Islam dalam al-Quran dan Sunnah dimasukkan dalam peruntukan Kanun Melaka, dan perluasan pemakaian prinsip Islam dalam amalan harian bersesuaian nilai hukumnya, tidak hanya tersimpan dalam kitab al-Qur’an dan kitab al-Sunnah.

Berbeza dengan pendapat menafikan penguatkuasaan undang-undang hudud pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, keberadaan hukuman jenayah Islam dalam Kanun Melaka itu sendiri bukti penguatkuasaannya.

Bahkan ada peristiwa membuktikan hukuman hudud itu dilaksanakan, bukan setakat dikuatkuasakan, contohnya hukuman jenayah curi pada zaman Sultan Alauddin.

Penguatkuasaan syariat Islam dikukuhkan pada zaman Sultan Muzaffar apabila perundangan Islam diperluaskan termasuk penggubalan undang-undang pelayaran.

Undang-undang Islam jelas mendominasi undang-undang adat. Mengikut kaedah usul, adat yang tidak bercanggah al-Quran dan al-Sunnah boleh diterima sebagai sumber kedua perundangan Islam.

Ringkasnya, penginstitusian Kanun Melaka, kejayaan Kesultanan Melaka mengambil posisi sebagai pusat penyebaran agama Islam bertaraf serantau dan komitmen Raja-Raja Melaka dalam pelaksanaan syariat Islam jelas memberi legitimasi bahawa undang-undang Islam didaulatkan dengan sempurna sebagai undang-undang watan bagi Tanah Melayu.

Tanpa status sedemikian, mustahil Islam boleh menjadi elemen teras bersepadu pada jati diri Melayu hari ini. Fakta di atas tersimpan dalam histografi tempatan dan asing.

Sumber demikian tidak wajar disisihkan sebagai cerita dalam kesusasteraan Melayu semata-mata.

DATUK DR WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Ketua Lajnah Kajian Strategik Majlis Ittihad Ummah

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
2 comments
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts