Tabung Perwira COVID-19 3.0 sasar kutipan RM1 juta: Aman Palestin

 

BANGI – Selepas bantuan kepada rakyat yang memerlukan berjaya disalurkan menerusi Tabung Perwira COVID-19 (TPC) fasa pertama dan kedua, Aman Palestin Berhad (Aman Palestin), hari ini kembali melancarkan TPC 3.0 atau fasa ketiga sejajar dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Ustaz Awang Suffian Awang Piut menjelaskan, sumbangan sebelum ini berjaya disampaikan kepada 2,500 rakyat termasuk petugas barisan hadapan.

Beliau berkata, mereka antaranya menerima pek makanan, komputer riba kepada pelajar terpilih selain bantuan wang tunai buat golongan asnaf terpilih. 

Manakala buat petugas barisan hadapan di hospital sekitar Selangor, mereka menerima kit bantuan asas seperti cecair pencuci tangan, pelitup muka dan pelindung muka (face shield).

Justeru, bagi meringankan beban pada PKP 3.0 kali ini, Aman Palestin melancarkan Tabung Perwira COVID-19 3.0 yang menyasarkan kutipan sumbangan sebanyak RM1 juta.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM300,000 akan disumbangkan kepada dua jabatan kesihatan negeri iaitu di Negeri Sembilan dan Kedah.

Sementara baki RM700,000 akan disalurkan kepada 5,000 buah keluarga terjejas.

“Pada 1 Jun lalu, kita di Malaysia telah memulakan fasa ‘total lockdown’. Pandemik kini telah sampai ke tahap yang amat membimbangkan. Kerajaan terpaksa melaksanakan PKP 3.0 bagi memastikan penularan wabak dapat dibendung.

“Bagaimanapun, sudah pasti ramai pihak terkesan terutama petugas barisan hadapan, golongan B40 dan peniaga kecil.

“Justeru, hari ini dilancar TPC 3.0 dengan sasaran sebanyak RM1 juta. Dua buah jabatan kesihatan negeri juga akan menerima sumbangan sebanyak RM300,000,” katanya dalam sidang media pelancaran Tabung Perwira COVID-19, hari ini.

Ustaz Awang Suffian berkata, sumbangan yang disampaikan dengan bantuan Kelab Perwira Malaysia ini juga akan melibatkan kerjasama dengan pihak berwajib.

“Ini bagi memperkasakan serta mempercepat bantuan disampaikan kepada rakyat yang terjejas ini.

“Semoga dengan bantuan ini dapat sedikit sebanyak dapat meringankan beban orang ramai. Kita juga mendoakan agar ujian wabak ini segera diangkat oleh Allah SWT,” katanya. -Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts