Tilka hududullah… Demikianlah hudud Allah…

noentry

 

MESKIPUN pada tajuk ini ada perkataan hudud, tapi artikel di ruangan Tarbiyah ini tidak membincangkan perihal Undang-Undang Hudud yang mahu diperkenalkan di Kelantan.

Ini kerana perkataan hudud yang disebut banyak kali di dalam Al-Quran membawa maksud yang lebih luas, tidak terhad kepada Undang-Undang Hudud semata-mata.

Mari kita lihat apakah pengajaran daripada perkataan hudud yang terkandung dalam dua ayat daripada Surah Al-Baqarah:

“Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya.” (Al-Baqarah: 187)

“Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya.” (Al-Baqarah: 229)

Ayat 187 menceritakan LARANGAN ke atas suami daripada menghampiri isteri pada waktu siang bulan Ramadan.

Ayat 229 dan ayat-ayat sebelumnya pula menceritakan HAK (yang halal) bagi suami untuk bernikah dan menceraikan isteri tapi mesti mengikut peraturan yang ditetapkan Allah.

Pengajaran daripada dua ayat ini diringkaskan seperti berikut:

1. Allah telah menetapkan perkara-perkara HALAL dan perkara HARAM sebagai panduan umat Islam. Perkara halal itu adalah baik untuk kita, manakala yang haram itu tidak baik untuk kita amalkan.

2. Allah mahu kita MENJAUHI dan tidak MENGHAMPIRI perkara yang haram. Sebab itu, Allah menggunakan perkataan ‘Fala Taqrabuha’ (Janganlah menghampirinya). Bukan sahaja tidak boleh melakukan perkara haram, bahkan mendekatinya pun tidak boleh.

Dalam hadis keenam daripada 40 hadis yang dihimpunkan oleh Imam Nawawi (Kitab Matan Arbain), Nabi Muhammad menjelaskan bahawa orang yang mengembala ternakan di sekitar kawasan larangan, adalah dikhuatiri ternakannya itu akan termakan rumput di kawasan larangan.

Oleh sebab itu, kita perlu menjauhi dan jangan sekali-kali cuba mendekati perkara haram, kerana dikhuatiri akan melakukan perkara haram itu.

3. Bagi perkara HALAL pula, seperti berkeluarga bahkan dalam perkara ibadah sekalipun, Allah tidak membenarkan umat Islam berlebih-lebihan dan melampaui batas. Ini kerana, perkara halal boleh jatuh hukum haram jika melampaui batas.

Di sinilah hujah mengapa Allah menggunakan perkataan ‘Fala Ta’taduha’ (Jangan melanggari batasannya). Orang yang melampaui batas adalah orang yang telah melanggar hukum Allah.

Demikianlah HUDUD Allah. Undang-undang dan ketetapan Allah pada perkara yang HALAL dan HARAM yang wajib dipatuhi oleh sekalian umat Islam.

Sebaiknya, ambillah jalan pertengahan yang tidak ekstrem dan tidak terlalu memudahkan hukum Allah.

Umat Islam itu tidak ekstrem (melampaui batas) dalam melakukan perkara HALAL, begitu juga umat Islam tidak terlalu bermudah-mudah dalam perkara HARAM sehingga suka menghampiri perkara kemaksiatan.

Abu Nizar

Sumber: http://www.ismaweb.net/2016/04/tarbiyah-tilka-hududullah-demikianlah-hudud-allah/

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts