Tokoh: Imam As-Syafie

Untitled-4

 

Muhammad bin Idris bin al-‘Abbas bin ‘Utman bin Syafie bin as-Saib bin ‘Ubaid bin ‘Abdu Yazid bin Hasyim bin al-Muthalib bin ‘Abdi Manaf bin Qushay bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Luay bin Ghalib, Abu ‘Abdillah al-Qurasyi asy-Syafi’i al-Makki yang dikenali sebagai Imam As-Syafie merupakan mujtahid Islam dan pengasas kepada Mazhab Syafie.

Imam an-Nawawi rhm berkata: “Imam Syafie adalah Qurasyi (berasal dari suku Quraisy) dan Muthalibi (keturunan Muthalib) berdasarkan ijma’ para ahli riwayat dari semua golongan, sementara ibunya berasal dari suku Azdiyah”.

Para sejarawan sepakat bahwa Imam Syafie lahir pada tahun 150H, yang merupakan tahun wafatnya Imam Abu Hanifah.

Imam Syafie dilahirkan di sebuah tempat bernama Ghazzah di ‘Asqalan. Ketika memasuki usia dua tahun, ibunya membawanya ke negeri Hijaz dan bercampur dengan penduduk negeri itu yang terdiri dari orang-orang Yaman kerana ibunya dari suku Azdiyah. Ketika Imam Syafie berumur sepuluh tahun, ia dibawa ke Makkah kerana ibunya khawatir nasab (keturunannya) yang mulia itu lenyap dan dilupakan.

Imam Syafie begitu tekun belajar sehingga ia dapat menghafal Al-Quran pada usia 7 tahun dan kitab al-Muwatha’ (karya Imam Malik rhm) dalam usia 10 tahun. Pada saat ia berusia 15 tahun (ada yang mengatakan 18 tahun). Imam Syafie berfatwa setelah mendapat izin dari syeikhnya yang bernama Muslim bin Khalid az-Zanji rhm. Imam Syafie menaruh perhatian yang besar kepada syair dan bahasa sehingga ia hafal syair dari suku Hudzail.

Sebelum pergi ke Madinah untuk menemui Imam Malik, Imam Syafie terlebih dahulu mempersiapkan diri dengan menghafal kitab al-Muwatha’. Dalam sebuah riwayat disebutkan bahawa beliau telah menghafal kitab tersebut dalam usia 10 tahun. Riwayat lain menyebutkan beliau telah menghafal pada usia 13 tahun. Imam Syafie meinggalkan Makkah ke Madinah untuk bertemu dengan Imam Malik, dan umur beliau ketika itu ialah 22 tahun.

Imam Malik kagum dengan kepintaran Imam Syafie lalu Imam Malik membenarkan Imam Syafie mempelajari al-Muwatta’ di bawah bimbingannya. Imam Syafie kekal tinggal di Madinah sehinggalah Imam Malik meninggal dunia.

Keilmuan Imam Shafii menarik perhatian gabenor Yaman yang sedang mengerjakan haji di Makkah. Ketika itu Imam Syafie berusia 30 tahun. Gabenor Yaman mempelawa Imam Syafie untuk menjadi qadhi di Yaman. Kerjaya Imam Syafie berjalan dengan baik. Bagaimana pun, perkhidmatan Imam Syafie ini berjangka hayat pendek. Terbukti Imam Syafie adalah seorang qadhi yang adil, tetapi beliau tidak lama kemudian tersangkut dalam pertelingkahan dan perselisihan tempatan yangbukan sahaja menyebabkan Imam Syafie bukan sahaja kehilangan jawatan malah diheret dengan rantai ke Iraq atas tuduhan menyokong Imam Zaydiyyah Yahya ibn Abdullah yang menjadi saingan kepada khalifah Abbasiyyah.

Imam Syafie dibawa ke hadapan khalifah Harun al-Rashid di al-Raqqa, Iraq bersama-sama tawanan-tawanan lain pada tahun 187H/803M. Tawanan-tawanan lain dihukum bunuh tetapi Imam Syafie diampunkan setelah beliau berjaya membuktikan kesetiaannya kepada khalifah. Dikatakan bahawa faqih mazhab Hanafi yang terkenal, Muhammad ibn al-Hasan al-Shaybani yang hadir ketika itu juga membela Imam Syafie. Dikatakan khalifah Harun berasa sukacita dengan penghujahan Imam Syafie dan kemudiannya menjadi penaung beliau. Selepas insiden ini, Imam Syafie makin rapat dengan al-Shaybani dan makin giat menumpukan kepada pembelajaran fiqah dan tidak lagi terlibat dalam perkhidmatan kerajaan.

Pada tahun 188H/804M, Imam Syafie meninggalkan Iraq dan melalui Harran dan Syria lalu ke Makkah. Imam Syafie kembali ke Baghdad pada tahun 194H/810M. Pada tahun 198H/814M, Imam Syafie meninggalkan Iraq lalu menuju ke Mesir atas jemputan Abdullah ibn Musa. Pada tahun itu juga al-Ma’mun menjadi khalifah setelah menewaskan saudaranya al-Amin setahun yang lalu.

Di Mesir, Imam Syafie mempunyai hubungan yang baik dengan gabenor Mesir. Di Mesir, beliau mengabdikan diri pada pengajaran dan penulisan. Antara murid-muridnya di Mesir adalah al-Rabi’ ibn Sulayman al-Muradi, Abu Ya’qub al-Buwayti dan Abu Ibrahim Ismail ibn Yahya al-Muzani. Mereka ini banyak mencatat kata-kata Imam Syafie. Di akhir hayat Imam Syafie, beliau terlibat dalam perdebatan dengan seorang pengikut mazhab Maliki di Mesir yang bernama Fityan. Fityan yang kalah dalam perdebatan dengan Imam Syafie berasa tidak puas hati lalu mencaci Imam Syafie. Gabenor yang menjadi penaung Imam Syafie mengarahkan Fityan diarak di jalan-jalan sambil memegang sekeping papan yang bertulis ‘inilah hukuman kerana mencaci keturunan saudara terdekat Nabi’.

Marah dengan hukuman itu, teman-teman Fityan menyerang Imam Syafie seusai beliau mengajar. Imam Syafie cedera parah lalu dibawa ke rumahnya di Fustat. Beberapa hari kemudian iaitu 30 Rejab 204H/820M, beliau meninggal dunia. Beliau dimakamkan di perkuburan Bani Abd al-Hakam berdekatan Gunung al-Muqattam. Pada tahun 608H/1212M, sultan Ayyubiyyah Mesir, al-Malik al-Kamil membina sebuah kubah di atas makam Imam Syafie yang masih wujud sehingga ke hari ini dan sentiasa dilawati pengunjung.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts