Tokoh ulama Jordan, Sheikh Muhammad Abdul Qadir Abu Faris meninggal dunia

12065594_1168381329842628_1511390296014232280_n

 

Seorang tokoh ilmuan Islam dalam bidang fiqh dan siyasah syar’iyyah, al-Allamah as-Sheikh Prof Dr Muhammad Abdul Qadir Abu Faris telah meninggal dunia semalam (3 November 2015) pada usia 77 tahun.

Beliau yang terkenal dengan kepakarannya dalam ilmu syarak dan khutbahnya yang hebat, dilahirkan di Falujah, Palestin pada 1938.

Mendapat pendidikan awal di Falujah, beliau kemudian menyambung pengajian di bandar Khalil sebagai mengikut keluarga berpindah ke situ.

Setelah menamatkan pengajian rendah pada 1950, Sheikh Abu Faris kehilangan ayahnya. Ketika itu umur beliau 12 tahun. Beliau kemudian dibesarkan oleh ibunya dan bapa saudara.

Meskipun hidup dalam kesusahan tanpa seorang ayah, Sheikh Abu Faris meneruskan pengajian di peringkat menengah sehingga tamat pada 1957.

Hubungan Sheikh Abu Faris dengan gerakan Ikhwan Muslimin bermula pada 1952 ketika umurnya 14 tahun. Beliau kerap menziarah pejabat Ikhwan di Khalil.

Beliau mula berkhidmat kepada Kementerian Pendidikan sebagai guru di sebuah sekolah di kawasan Abu Nusair pada 1958, setahun selepas tamat pengajian sekolah menengah.

Pada 1964, Sheikh Abu Faris berdaftar sebagai mahasiswa di Universiti Damsyik dan mempelajari Syariah Islamiyah.

Setelah tamat pengajian, beliau berhijrah ke Doha untuk menjadi guru di bawah Kementerian Pendidikan Qatar.

Selepas beberapa tahun berkhidmat di Qatar, beliau kembali ke Jordan selama tiga tahun sebelum berpindah ke Kaherah untuk menyambung pelajaran di peringkat doktor falsafah di Universiti Kaherah.

Beliau berjaya menyiapkan PHD dengan pangkat cemerlang (martabat syaraf ula).

Disebabkan kecemerlangannya dalam bidang akademik, Universiti Jordan menganugerahkannya Anugerah Negara Bagi Penyelidikan dan Pengajian Islam.

Beliau dilantik menjadi pensyarah di Jabatan Fiqh dan Tasyri’ di Universiti Jordan dan kemudian dinaikkan pangkat menjadi Ketua Jabatan.

Penglibatan selain akademik, Sheikh Abu Faris memegang jawatan Pengerusi Majlis Pendidikan Persatuan Kebajikan Islam, Anggota Majlis Eksekutif Ikhwan Muslimin, Ahli Majlis Syura Ikhwan Muslimin, Anggota Parti Jabhah Amal Islami dan Anggota Jabatan Antarabangsa Ikhwan Muslimin.

Beliau menjadi Ahli Parlimen dua kali, pertama pada 1989 dan kedua pada 2003. Beliau ditangkap pada 2006 ketika masih memegang jawatan Ahli Parlimen atas kesalahan mengucapkan takziah kepada Ketua Al-Qaeda, Abu Mus’ab Zarqawi.

Beliau dijatuhkan hukuman penjara dua tahun namun dibebaskan selepas dua bulan dalam penjara disebabkan pengampunan oleh pihak istana.

Beliau juga pernah ditangkap beberapa kali antaranya dalam kes ‘Universiti Yarmouk’ pada 1986.

Sheikh Abu Faris telah menyertai banyak persidangan tempatan dan antarabangsa dalam bidang akademik, fikrah, dakwah dan politik.

Beliau telah menulis lebih 60 buah buku dalam pelbagai bidang ilmu syarak seperti fiqh, siyasah syar’iyyah, tafsir, sirah dan tazkiyah.

Beliau juga terlibat dalam penetapan silibus pendidikan di beberapa buah negara termasuk Oman, Qatar dan Arab Saudi.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts