Trend S-line : Buka Aib Demi Likes, Malu Entah Ke Mana

Trend “S-Line” yang tular di media sosial yang diinspirasikan daripada budaya hiburan seperti drama Korea. Ianya bukan sekadar hiburan kosong, tetapi satu bentuk normalisasi maksiat secara terbuka. Ia menggalakkan pendedahan kisah aib dan pengalaman seksual dengan bangga, sekaligus mencabar ajaran Islam dan meruntuhkan nilai budaya Timur.

Trend ini bukan sekadar isu akhlak, tetapi mengancam akidah dan kestabilan sosial. Maksiat dipromosikan melalui konten ringan, gurauan dan gaya hidup bebas. Firman Allah SWT dalam Surah an-Nur ayat 19 mengancam azab pedih kepada sesiapa yang suka tersebarnya perbuatan keji, walau hanya dalam bentuk kecenderungan hati.

Ulama seperti Wahbah al-Zuhayli menegaskan, sekadar suka maksiat tersebar pun sudah berdosa, apatah lagi jika menyebarkannya secara nyata. Apabila masyarakat mula menerima maksiat sebagai perkara biasa, sensitiviti terhadap dosa hilang, lalu nilai-nilai Islam mula terhakis.


Hilang Sifat Malu dan Tarhakisnya Takwa

Media sosial membuka ruang besar kepada penyebaran aib dan peribadi tanpa segan silu. Ini merosakkan sifat malu, yang sebenarnya adalah teras ketakwaan, seperti dijelaskan dalam Surah al-A’raf ayat 26 dan hadis sahih:

“Jika kamu tidak malu, buatlah apa yang kamu suka.” (Riwayat Bukhari)

Ulama menghuraikan, hilangnya sifat malu akan mendorong manusia bertindak sesuka hati menurut nafsu, tanpa peduli dosa. Trend “S-Line” jelas menzahirkan ini apabila perbuatan membuka aib seksual dijadikan hiburan umum.

Mendedahkan aib, walau atas nama gurauan, adalah haram. Ia bercanggah dengan maqasid syariah yang menuntut umat menjaga agama, maruah, akhlak dan kesejahteraan masyarakat. Budaya ini bukan sahaja menjatuhkan individu, tetapi memberi kesan domino kepada struktur sosial, terutama remaja yang mudah terpengaruh.

Trend ini perlu ditolak secara tegas. Ia merosakkan maruah umat Islam dan membuka jalan kepada kerosakan lebih besar. Institusi keluarga, sekolah, media dan kerajaan perlu memainkan peranan memperkukuh pendidikan akhlak, kawalan konten digital, dan mendidik masyarakat tentang bahayanya normalisasi maksiat.

Menolak “S-Line” bukanlah sesuatu ekstrem, tetapi langkah mempertahankan iman, maruah dan masa depan umat.

Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

https://t.me/indahnyaislam

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts