Undi adalah amanah kepimpinan

 

1. UNDI adalah satu tanggungjawab besar yang menjadi kesaksian di hadapan Allah Taala kelak. Undian kita secara tidak langsung memberikan impak kepada kedudukan Islam dan juga saudara Muslim kita. Atas dasar itu S.S. Mufti Perlis Dr. MAZA pernah menyatakan bahawa undi kita mempunyai nilai dosa dan pahala (15 April 2011). Timbalan Mufti Perak S.S Ustaz Zamri turut menegaskan perkara yang sama berhubung kesaksian ini.

2. Dengan itu Allah SWT memerintahkan kita supaya memberikan amanah kepimpinan kepada ahlinya, iaitu yang mereka tahu dan mahir dengan perkara tersebut. Firman Allah:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.

3. Menurut al-Imam Ibn Kathir, ayat ini diturunkan berkaitan peristiwa yang melibatkan Uthman ibn Talhah. Ketika berlakunya pembukaan Kota Mekah, Saidina Ali dikatakan telah datang berjumpa dengan Rasulullah ﷺ. Ketika itu kunci Kaabah berada di tangan Baginda Nabi ﷺ. Saidina Ali mencadangkan supaya kunci Kaabah diserahkan kepada mereka. Tetapi Rasulullah ﷺ memanggil Uthman ibn Talhah dan menyerahkan kunci Kaabah kepada beliau. Ini adalah kerana keluarganya adalah keturunan Bani Abu Talhah yang biasa menguruskan sidanah atau hijabah (pengurusan kelambu dan kunci Kaabah). (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim, 2/340)

4. Lihatlah bagaimana Rasulullah ﷺ meletakkan urusan pentadbiran itu kepada orang yang sesuai di dalam bidangnya. Kalau ikutkan boleh sahaja kunci Kaabah itu diserahkan kepada Saidina Ali atau kaum keluarganya yang lain, tetapi perkara ini tidak berlaku. Baginda ﷺ menyerahkan amanah kepada mereka yang berkelayakan.

5. Malah Baginda ﷺ pernah mengingatkan kita bahawa sekiranya kita menyerahkan sesuatu kepada mereka yang bukan ahlinya maka tunggulah saat kiamat (kehancuran). Sabda Rasulullah ﷺ:
إِذَا وُسِّدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ

Maksudnya: Apabila sesuatu urusan itu diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah kedatangan kiamat. (HR al-Bukhari)

6. Menurut Ibn Hajar, al-Imam al-Bukhari meletakkan hadith ini di dalam bab ilmu kerana kesilapan dalam menyerahkan kuasa kepimpinan berlaku apabila masyakat jahil dan jauh dari ilmu. Ini dapat kita lihat apabila komuniti Muslim hari ini dilekakan dengan perkara yang tidak utama bahkan disibukkan dengan aktiviti pembodohan.

7. Mengapa Rasulullah ﷺ mengatakan “tunggulah datangnya kiamat”? Menurut al-Imam al-Munawi, menyerahkan urusan kepimpinan kepada yang tidak amanah, rapuh agamanya, lemah Islamnya, sehingga mengakibatkan kebodohan, maka ini adalah sebagian dari tanda-tanda kiamat. (al-Munawi, Fayd al-Qadir, 1/563-564). Kerosakan akan berlaku, manusia disibukkan dengan urusan yang remeh malah apa yang lebih membimbangkan adalah apabila urusan agama diperkecilkan dan tidak menjadi agenda utama yang memacu pentadbiran negara.

8. Atas dasar itu al-Imam al-Taibi menyebutkan bahawa perubahan kepada kepimpinan yang rosak akan memberikan kesan langsung kepada kerosakan rakyat. Dengan sebab itu dikatakan:

الناس على دين ملوكهم

Maksudnya: Manusia itu di atas agama pemerintahnya.

Sekiranya elok peribadi dan hebat pentadbiran pemimpin, maka baik dan sejahteralah rakyatnya. Sekiranya rosaknya pemimpin, maka dibimbangi akan binasalah rakyat dan kehidupannya. (Ali al-Qari, Mirqa al-Mafatih, 3430)

9. Dengan itu, undi adalah kesaksian dan tanggungjawab yang besar. Bukan sahaja terhadap hubungan kita sesama manusia yang berkehendakkan kehidupan yang lebih baik, bahkan menjadi kesaksian buat kita dihadapan Allah nanti.

Undilah dengan pertimbangan neraca Islam.

Ustaz Dr Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts