Jemaah umrah diingatkan patuh peraturan pakaian berkait Palestin

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar meminta rakyat Malaysia yang mahu atau sedang melaksanakan umrah di Arab Saudi supaya mematuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan negara berkenaan.

Beliau berkata, ia terutamanya membabitkan pemakaian baju, mafla atau mengibarkan bendera Palestin.

Ini kerana, undang-undang dan peraturan yang dilaksanakan kerajaan Arab Saudi berhubung perkara itu berkemungkinan berbeza dengan Malaysia.

“Di Malaysia pula, kerajaan berpandangan untuk tidak ada sebarang masalah untuk perkara berkenaan (solidariti Palestin) dan itu merupakan pendekatan dan dasar yang diambil oleh kerajaan Malaysia.

“Namun, tidak dapat dipastikan bagaimana pula pendirian kerajaan Arab Saudi terhadap perkara berkenaan.

“Saya syorkan dan menasihatkan kepada rakyat Malaysia yang ingin melakukan ibadah umrah di Madinah dan Makkah untuk mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh Arab Saudi,” katanya seperti dilapor BH.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelepas Konvoi Kembara Zakat 2023 di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), semalam.

Dr Mohd Na’im menegaskan, Malaysia menghormati dasar dan objektif yang telah ditetapkan negara berkenaan.

“Malaysia sudah pasti tidak campur tangan mengenai apa yang ditetapkan dan urusan oleh Arab Saudi. 

“Tujuan utama kita mahu ke negara berkenaan adalah untuk melaksanakan ibadah umrah, jadi kita tidak mahu hanya disebabkan dengan melanggar peraturan negara berkenaan, hasrat murni kita untuk melakukan ibadah umrah tidak dapat dicapai.

“Kenapa tidak untuk kita patuh kepada peraturan berkenaan. Jika kita ditangkap kerana melanggar peraturan negara itu, maka ibadah umrah tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna,” katanya.

Terdahulu, seorang rakyat Malaysia yang menetap di Arab Saudi berpesan kepada jemaah umrah negara ini supaya tidak sesekali memakai baju atau mafela ‘Free Palestine’ sewaktu berada di sana kerana ia salah di sisi undang-undang.

Wanita dikenali sebagai Masnira Ramli itu berkata, nasihat yang diberikan ini berikutan terdapat jemaah telah ditahan susulan kesalahan tersebut.

“Jangan pakai baju atau mafla ‘Free Palestine’ di Makkah, Madinah. Salah di sisi undang-undang. Dah ada jemaah yang kena tangkap terus ke ‘dalam’ sebab pakai. Hati-hati ya semua jemaah.

“Bukan negara ini tak support (sokong). Tetapi memang itu undang-undangnya. Bukan tentang isu ini sahaja, malah apa-apa isu dalam negara atau dunia pun tak boleh,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts