Wanita Islam, kemerdekaan dan UPR

drnorzilaP16

 

Kita bakal menyambut kemerdekaan negara ke-59 sehari sahaja lagi. Tema tahun ini masih kekal seperti tahun lepas iaitu ‘Sehati Sejiwa’.

Antara program yang mewarnai bulan kebangsaan dan Hari Malaysia mulai Julai sehingga Oktober nanti termasuk program MERDEKA@komuniti, pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang, Doa Untuk Malaysia, Kayuhan Sehati Sejiwa, Karnival Merdeka, Amanat Hari Kebangsaan, Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2016 dan Sambutan Hari Malaysia 2016.

Erti kemerdekaan

Apa ertinya kemerdekaan kepada kita? Pada setiap orang tafsirannya berbeza mengikut latar belakang agama, budaya, didikan keluarga, suasana, kemampuan dan persekitaran.

Kepada seorang pelajar, merdeka mungkin bermaksud kemampuan untuk belajar di dalam atau luar negara atas tajaan kerajaan. Seorang ibu mungkin menafsir merdeka sebagai kejayaan anak-anaknya yang berguna kepada agama dan masyarakat. Seorang pekerja mungkin mengatakan bahawa merdeka bererti beliau mampu bekerja dan menyara keluarganya. Seorang anak pula mungkin mengatakan kebebasan untuk berlari dan bermain sehingga dipanggil pulang oleh ibunya.

Kepada rakyat yang dihimpit kezaliman dan ketidakadilan penjajah atau penceroboh di mana segala undang-undang hak asasi manusia dilanggar seperti Palestin yang dicerobohi Israel, tentunya kemerdekaan didamba setiap hari di mana kita lihat setiap golongan rakyat dari kanak-kanak, wanita, warga tua, pejuang-pejuang jihad berusaha setiap hari memerdekakan negara mereka daripada kezaliman Israel.

Dalam Wikipedia, merdeka bermaksud, pemerintahan sendiri oleh penduduk-penduduk sebuah negara yang secara amnya menuntut kedaulatan. Kamus Dewan Edisi Keempat pula menafsirnya sebagai bebas dari penjajahan, berdiri sendiri dan tidak bergantung pada yang lain.

Wanita dan kemerdekaan dalam Islam

Mengikut Dr Mohammad Sa’id Ramadhan Al-Buthi dalam bukunya ‘Perempuan, Antara Kezaliman Sistem Barat dan Keadilan Islam’, kemerdekaan bermaksud limitasi fleksibiliti atau batasan yang dapat dinikmati manusia dalam menjalin hubungan dengan alam sekitar yang melingkupinya dan bukannya berbuat sesuka hati atau melepaskan diri daripada pelbagai aturan dan undang-undang.

Beliau menambah lagi bahawa kalau kita fahami hubungan antara manusia dengan Tuhannya, kita akan dapati bahawa manusia tidak memiliki kemerdekaan apa-apa pun. Ini kerana manusia tidak mampu hidup sebaiknya di luar kerangka hukum Tuhan yang telah ditetapkan untuk manusia.

Ini terjadi kerana manusia adalah hamba Allah. Seorang hamba tidak memiliki kemerdekaan apa pun di hadapan tuannya. Manusia akan diminta pertanggungjawaban atas setiap tugas dan kewajiban yang telah ditaklifkan Allah kepadanya.

Oleh itu, kemerdekaan hanya dinikmati dalam ruang lingkup yang Allah kenakan kepadanya. Hanya sahaja taklif yang tidak ditunaikan dalam rangka kemerdekaannya akan diperlihatkan pada hari akhirat nanti. Di mana orang yang melepaskan diri dari limitasi kemerdekaan ini akan menerima hukuman sementara orang yang terikat dengan limitasi kemerdekaan ini akan diganjari sebaiknya.

Antara hak-hak kemerdekaan dalam Islam yang dinikmati kaum wanita ialah:

1. Kemerdekaan untuk bekerja
Kewajiban bekerja yang disyariatkan kepada kaum lelaki juga diwajibkan kepada kaum wanita. Hanya Islam telah menetapkan kaedah-kaedah moral dan sosial yang perlu dipatuhi dan ditaati.

Antara kaedah-kaedah moral dan sosial itu ialah menjaga kehormatan diri, mengharamkan berdua-duaan (berkhalwah) dengan lelaki, dan menutup aurat. Selagi tidak bertentangan dengan hukum-hukum yang ditetapkan itu, wanita dibenarkan bekerja dalam apa jua lapangan yang asalnya dibolehkan.

Hanya, wanita perlu juga mengambil kira kemaslahatan keluarga selain dari tuntutan sosial. Tanggungjawab terhadap keluarga dan masyarakat perlu diutamakan mengikut skala prioriti yang ditetapkan.

Cuma ditekankan di sini bahawa kemaslahatan keluarga merupakan tunjang utama kepada kemaslahatan masyarakat. Juga untuk tidak membebankan isteri, suami dipertanggungjawabkan untuk memenuhi keperluan ekonomi keluarga.

2. Kemerdekaan untuk berpolitik
Wanita dibenarkan bergiat dalam politik dan boleh dirujuk sebelum sesuatu fatwa dikeluarkan. Antaranya ialah penglibatan sebagai anggota dewan perwakilan dan ahli syura. Walaubagaimanapun, bebrapa syarat perlu dipatuhi iaitu harus memiliki kelayakan yang sesuai bagi memegang jabatan-jabatan tersebut dan mematuhi landasan hukum agama yang ditetapkan walaupun ada paksaan dari pelbagai pihak untuk keluar daripadanya.

3. Kemerdekaan untuk hak-hak sosial
Ini termasuk tanggungjawab melaksanakan aktiviti, dan pekerjaan yang bermanafaat bagi masyarakat, baik dalam aspek duniawi mahupun ukhrawi.Seperti yang dijelaskan sebelum ini, aktiviti dan pekerjaan ini perlu dijalankan mengikut kaedah-kaedah etika dan moral yang telah ditetapkan dalam Islam.

Pada zaman Rasulullah saw dan para sahabat lagi, wanita dibolehkan solat berjemaah di masjid, menuntut pelbagai ilmu, pergi ke majlis taklim, menghadiri pertemuan, forum umum, upacara keagamaan dan lain-lain dalam keadaan menepati syarak seperti mengenakan hijab, batasan dalam bercampur dengan kaum lelaki dan menjauhi berkhalwat dan selama itu kaum wanita menjadi sekutu kaum lelaki tanpa diskriminasi.

Banyak hadis-hadis Rasulullah saw yang menunjukkan kebersamaan Rasulullah saw menemani isterinya memenuhi undangan jirannya dan pernah menolak undangan apabila isterinya tidak diundang serta para sahabat juga biasa menemani isteri-isteri mereka ke masjid. Juga hadis-hadis lain yang menunjukkan kunjungan para sahabat kepada para wanita Muslimah dan Ummul Mukminin khususnya Aisyah r.a. untuk meriwayatkan hadis, meminta fatwa dan menanyakan hal ehwal Rasulullah saw.

Kita juga pernah mendengar kisah-kisah kaum wanita yang ikut berperang bersama Rasulullah saw, melindungi Baginda dari musuh di samping merawat dan memberi minum para perajurit di medan perang. Selain itu, terdapat juga wanita Muslimah yang menjadi pedagang, pemilik rumah persinggahan, petani dan lain-lain lagi.

Wanita dan UPR

Universal Periodic Review (UPR) atau Semakan Berkala Sejagat adalah satu proses semakan ke atas kesemua 193 negara di bawah PBB terhadap kepatuhan kepada beberapa ketetapan oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC).

Negara kita Malaysia juga tertakluk dengan mekanisme semakan rekod dan pencapaian hak asasi manusia (HAM) ini dan telah melalui 2 pusingan semakan pada 2009 dan 2013 serta bakal melalui semakan pusingan ketiga pada 2018.

Dalam proses semakan UPR ke atas Malaysia, beberapa badan NGO telah menghantar tuntutan dan laporan kepada UNHRC tentang pengabaian HAM di Malaysia ke atas kumpulan-kumpulan tertentu. Antara badan NGO ini ialah COMANGO iaitu gabungan NGO yang berfahaman liberal. Antara tuntutan mereka kepada UNHRC ialah:-

Agar Malaysia menandatangani perjanjian antarabangsa mengenai hak-hak sivil dan politik (ICCPR) yang membolehkan kebebasan menukar agama, bebas menjadi ateis, dan kebebasan murtad.Menuntut Malaysia mengiktiraf hak SOGI (Sexual Orientation and Gender Identity) iaitu menerima hak-hak LGBTIQ

Menuntut Malaysia memansuhkan atau meminda kesalahan-kesalahan jenayah Syariah yang didakwa menganggu hak peribadi

Mempersoalkan hak penganut Syiah. Jelas sekali bahawa tuntutan-tuntutan ini tidak menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara (3) Perlembagaan Persekutuan dan cuba mengelirukan seolah-olah negara Malaysia adalah negara sekular yang menyamaratakan semua agama.

Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita atau Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination Against Women (CEDAW) telah diluluskan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa­-Bangsa Bersatu (PBB) pada 18 Disember 1979 dan berkuatkuasa mulai 3 September 1981 bagi menghapuskan sebarang diskriminasi dan keganasan terhadap wanita.

Ia juga mengesyorkan setiap negara mengambil tindakan mengubahsuai aspek sosial dan budaya yang menggalakkan diskriminasi.

Malaysia juga terikat dengan tuntutan CEDAW dan walaupun kita bersetuju dengan beberapa artikel yang menentang layanan buruk, keganasan rumahtangga, penderaan dan peluang pembelajaran yang tidak adil kepada wanita dan kanak-kanak, namun kita telah menyatakan reservasi terhadap artikel- artikel 2 (f), 5 (a), 7 (b), 9 dan 16 yang dianggap antikeluarga, bercanggah dengan nilai budaya dan agama serta memberi kebebasan penuh hak asasi manusia termasuk yang melanggar norma kehidupan seperti LGBT.

Pihak COMANGO dan CEDAW sedang bekerja keras bersedia untuk 2018 untuk memaksa Malaysia tunduk kepada tuntutan-tuntutan tersebut dan menarik balik reservasi terhadap artikel-artikel CEDAW yang disebut di atas yang jelas akan menjejaskan kedudukan Islam sebagai agama Perlembagaan dan kedudukan negara Malaysia sebagai negara Islam berdaulat.

Oleh itu, para ‘stakeholders’ yang termasuk NGI (NGO Islam) juga perlu bersedia dari sekarang untuk menyediakan laporan yang boleh dikemukakan nanti pada sidang UPR 2018.

Kesimpulannya, Islam telah semenjak dahulu lagi menghormati dan memuliakan wanita dari segi hak-hak asasi seorang wanita Muslimah dalam pelbagai aspek yang tidak pernah dikecapi wanita dalam peradaban-peradaban terdahulu di mana wanita dianggap sebagai individu yang rendah taraf, pemuas nafsu dan tidak mendatangkan manafaat serta tidak memiliki apa-apa.

Pihak Barat yang melaung-laungkan perlindungan bagi wanita dan pemeliharaan hak asasi wanita dan menuduh Islam melanggar hak asasi wanita sebenarnya memperkosakan hak-hak asasi wanita.

Mereka berselindung di sebalik konsep kesetaraan antara lelaki dan wanita di mana lelaki dan wanita diletakkan di dalam acuan-acuan sosial yang sama, tinggal di tempat dan peraturan sama, struktur anatomi dan fisik mereka dianggap sama, sehingga mereka dibebani kewajipan yang sama (bukan sama-sama dibebani kewajipan), dan memiliki hak yang sama (bukan sama-sama memiliki hak). Hal ini dianggap bodoh kerana melanggar hukum alam.

Oleh itu, hargailah nikmat Islam dan nikmat kemerdekaan yang dikecapi sekarang dan hayatilah Islam yang syumul dalam diri, keluarga dan masyarakat agar generasi akan datang dapat berterusan menikmatinya juga demi kesejahteraan ummah dan negara.

Kenangilah kata-kata Rib’i bin ‘Amir Ats-Tsaqafi radhiyallahu ‘anhu, utusan yang dihantar oleh Sa’ad bin Abi Waqqash radhiyallahu ‘anhu, ketika bertemu dengan Panglima Rustum, pemimpin tentera Persia menjelang Perang Qadisiah,

“Allah mendatangkan kami bagi mengeluarkan hamba-hamba (manusia-manusia) dari menjadi hamba kepada hamba (manusia) supaya menjadi hamba kepada Allah yang Maha Esa lagi Maha Perkasa. Dari kesempitan dunia kepada dunia yang lebih luas. Dari kezaliman beragama kepada keadilan Islam.”

Dr Norzila Baharin
Timbalan Ketua Wanita ISMA

www.indahnyaislam.my

http://isma.org.my/v2/pejuang2016

Total
0
Shares
1 comment
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts