8 faktor kewujudan ajaran sesat di Malaysia

Kuala Lumpur: Taksub dan fanatik melampau kepada guru atau ketua ajaran dikenal pasti antara lapan faktor di sebalik kewujudan ajaran sesat di Malaysia.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, menjelaskan faktor lain merangkumi tindakan berpegang dengan akidah selain Ahli Sunnah Wal Jamaah dan mengamalkan ajaran kerohanian atau tasawuf falsafah yang bercampur aduk dengan ajaran kebatinan.

Katanya, segelintir pengikut ajaran sesat juga berpegang kepada perkara khurafat dan tahyul, selain menganggap ilham, mimpi atau kasyaf sebagai sumber pegangan serta kepercayaan.

“Faktor lain meliputi menyeleweng tafsiran al-hadis untuk kepentingan peribadi atau kumpulan, berpegang kepada pemikiran liberalisme dan pluralisme agama serta menolak disiplin ilmu dan bidang kuasa pihak berkuasa agama.

“Ini sebahagian daripada kriteria utama yang sering kita temui menerusi pihak berkuasa agama dalam sesebuah ajaran sesat yang dibongkarkan,” katanya pada soal jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini semalam.

Beliau menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) mengenai kriteria utama yang ditemui pihak berkuasa agama dalam sesebuah ajaran sesat bagi memberikan percerahan kepada rakyat, memandangkan ia isu berkaitan kepentingan agama.

Kepada soalan asal Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berhubung komitmen memastikan kesucian Islam dapat dipelihara, Ahmad Marzuk berkata usaha sedemikian giat dirintis menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

Sehubungan itu, katanya, JAIN secara berterusan melaksanakan aktiviti-aktiviti penguatkuasaan terhadap kes kesalahan jenayah syariah yang dilaporkan, membabitkan ajaran sesat, perjudian dan kesalahan mabuk.

“Sepanjang 2020, sebanyak 33 kes dilaporkan meliputi kes berkaitan ajaran salah, pemujaan salah, doktrin palsu dan dakwaan palsu, manakala 334 kes membabitkan perjudian, berada di tempat perjudian dan 86 kes merangkumi minuman yang memabukkan.

“Selain penguatkuasaan, kerjasama antara JAKIM dan JAIN terus diperkukuh bagi memastikan kesucian agama Islam di negara ini terpelihara melalui pelaksanaan pelbagai program.

“Contohnya, program-program peningkatan penghayatan agama dan pencegahan jenayah syariah berbentuk webinar, forum dan kempen kesedaran jenayah syariah,” katanya. -My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts