Benarkah perlu ganti ‘double’ bila sengaja batalkan puasa qadha?

Benarkah perlu ganti ‘double’ bila sengaja batalkan puasa qada?

Meskipun kemeriahan Syawal masih terasa, tetapi ada orang yang sudah mula menggantikan puasa ditinggalkan pada bulan Ramadan tempoh hari.

Bukan apa, bimbang pula jika terlupa bilangan hari yang tidak dapat disempurnakan itu. Sementara ingatan masih segar dan diri pula kuat untuk melakukannya, tidak salah untuk kita awalkan qada puasa berkenaan.

Lebih-lebih lagi kita baru sahaja meninggalkan puasa Ramadan beberapa hari. Sudah tentu mood untuk melakukan ibadah itu masih lagi tersisa.

Bercerita tentang puasa qada, ramai sedia maklum ia sama seperti berpuasa pada bulan Ramadan dan tidak boleh dibatalkan sesuka hati.

Namun, lumrah sebagai manusia, adakalanya kita berbuat salah juga. Boleh pula puasa qada tadi sengaja dibatalkan walaupun sudah tahu tidak boleh berbuat demikian.

“Nanti kena ganti ‘double’ sebab sengaja batalkan puasa qada berkenan”.

Ya, dialog itulah yang sering kali diulang siar umpama kaset oleh masyarakat di sekeliling.

Hakikatnya, Ketua Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed menjelaskan, pernyataan itu adalah tidak tepat sama sekali.

Sebelum memberikan jawapannya, beliau mengajak kita untuk menyelami hukum apabila seseorang sengaja membatalkan puasa qada.

Jelas beliau, pada asasnya, seseorang diharamkan sengaja membatalkan mana-mana amalan fardu termasuklah puasa ganti tadi.

Perkara itu jelas dinyatakan oleh Imam Syafie RA dalam kitab al-Umm iaitu: “Sesiapa telah masuk (memulakan) puasa yang wajib daripada Ramadan, qada, puasa nazar atau puasa kafarah, atau solat fardu pada waktunya, solat qada atau solat nazar, maka dia tidak boleh keluar (membatalkan) daripada puasa atau solat (tersebut) selagimana dia mampu untuk berpuasa dan solat dalam keadaan suci. Jika dia keluar (membatalkan) salah satu daripadanya tanpa keuzuran dengan sengaja, maka menurut kami dia dikira sebagai bersalah dan berdosa.

“Bukan itu sahaja, pengharaman membatalkan puasa qada Ramadan dengan sengaja dan tanpa keuzuran itu turut dijelaskan oleh Imam an-Nawawi dalam Minhaj al-Tolibin.

“Ini kerana apabila seseorang itu sudah memulakan amalan yang fardu, maka haram dibatalkan tanpa sebab-sebab syarie,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman sosial Facebook miliknya.

Berbalik kepada persoalan tentang bilangan puasa yang perlu diganti apabila meninggalkan puasa qada dengan sengaja, Dr Syed Shahridzan menjelaskan, individu berkenaan perlu menggantikan satu hari dan tidak perlu dalam jumlah yang berganda.

Ia selari dengan pandangan Imam an-Nawawi dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab yang menyatakan: “Jika seseorang berjimak ketika puasa selain Ramadan iaitu qada, nazar atau selain daripada kedua-duanya, maka tiada kafarah ke atasnya sepertimana yang disebutkan sebelum ini. Ini merupakan pendapat majoriti (ulama).

BAGI seseorang yang membatalkan qada puasanya ia tidak memberi kesan penambahan hari gantian, sebaliknya hanya melibatkan dosa keranan memutuskan amalan fardu yang dilaksanakan.

“Berdasarkan pandangan Imam an-Nawawi itu, jika kaffarah tidak diwajibkan, begitu juga dengan qada puasa iaitu tidak wajib tambahan satu hari lagi.

“Hal itu kerana pembatalan puasa qada tidak memberi kesan penambahan hari gantian, tetapi ia hanya melibatkan dosa kerana memutuskan amalan fardu yang sedang dilaksanakan,” katanya.

Mudah kata, pendakwah itu menjelaskan, tiada istilah puasa qada di atas qada atau puasa ganti di atas ganti.

“Namun, meninggalkan puasa qada atau ganti tanpa keuzuran tetap dikira berdosa kerana amal ibadah yang fardu tidak boleh dibatalkan.

“Andai ada uzur syarie seperti sakit dan musafir, puasa qada berkenaan boleh dibatalkan,” ungkapnya.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts