Berbangga buat dosa tanda fitrah diri rosak

 

MANUSIA secara fitrahnya lebih cenderung menyembunyikan perlakuan dosa dan maksiat daripada pengetahuan orang lain kerana diberikan perasaan malu.

Bagaimanapun, kewujudan sebahagian Muslim yang menzahirkan sokongan terhadap perkara dosa dan maksiat menunjukkan realiti ummah yang sedang sakit pada hari ini.

Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Ahmad Sanusi Azmi, berkata apabila Muslim sudah tidak malu lagi mempamerkan perlakuan dosa mereka, ia bererti fitrah mereka sudah rosak.

Sahabat Nabi SAW, Nawas Sam’an RA pernah bertanya kepada Baginda mengenai apakah dimaksudkan dengan dosa. Baginda bersabda: “Dan dosa itu sesuatu yang diragui dalam hati kamu dan engkau tidak suka diketahui orang lain.” (HR Muslim)

Ahmad Sanusi berkata, orang yang berani menzahirkan kemaksiatan diselubungi dengan pemikiran mengelirukan sehingga menyangkakan tidak salah untuk mempamerkan kelakuan dosa terbabit.

Beliau berkata, gejala berbangga dengan dosa dan suka mendedahkan maksiat sendiri ialah petunjuk kebencian atau kemarahan Allah SWT terhadap seseorang hamba seperti dijelaskan Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitabnya, Fath al-Bari.

Ahmad Sanusi memetik kata Ibnu Hajar, iaitu sesiapa dengan sengaja menzahirkan maksiat yang dilakukan diri sendiri atau menceritakan dosa mereka kepada orang lain, Allah SWT sangat marah kepada mereka hingga (dengan sebab itu) Allah SWT tidak menutup keaiban mereka (iaitu keaiban mereka didedahkan, bahkan oleh mereka sendiri).

“Perbuatan mereka menunjukkan Allah SWT mencabut rasa malu daripada diri hingga tidak berasa segan mendedahkan keaiban diri, malah perbuatan itu tidak mendapat pengampunan-Nya,” katanya.

Rasulullah SAW bersabda: “Setiap umatku akan mendapat pengampunan kecuali mujahirin (orang terang-terangan berbuat dosa). Dan termasuklah mereka yang terang-terangan berbuat dosa adalah seseorang melakukannya (dosa) pada malam, kemudian pada pagi dia menceritakannya, padahal Allah SWT menutupi perbuatan itu. Dia berkata: “Hai fulan, malam tadi aku melakukan begini dan begitu.’ Sebenarnya pada malam hari Tuhannya melindungi (aib) perbuatannya itu tetapi pada paginya dia sendiri menyingkap perbuatan (dosanya sendiri) yang ditutupi oleh Allah SWT.” (HR Bukhari)

Ahmad Sanusi berkata, berbangga dengan perlakuan maksiat dan menganggap perkara biasa dalam masyarakat juga disifatkan sebagai petanda akhir zaman.

Rasulullah SAW menjelaskan antara ciri umat akhir zaman ialah wujud golongan yang tidak malu menzahirkan maksiat mereka.

Rasulullah SAW bersabda: “Akan terjadi pada umat akhir zaman ini (tiga perkara iaitu): ‘khasf’ (gunung meletus dan bumi merekah); ‘maskh’ (kutukan dan berubahnya wajah insan) dan ‘qazf’ (berlemparan batu). Saidatina Aisyah RA bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah kami semua akan hancur terkena bala bencana tersebut sedang dalam kalangan kami terdapat orang soleh? Baginda menjawab: Ya, apabila zahir perkara keji (bermaharajalela). (HR Tirmizi)

Ahmad Sanusi berkata, lafaz yang digunakan Rasulullah SAW menyebutkan petanda akhir zaman ialah maksiat secara terbuka, iaitu manusia tidak segan melakukan dosa, lalu Allah SWT menimpakan bencana buat mereka semua.

Malah bencana dan musibah sering berlaku kini juga kerana kemurkaan Allah SWT di atas maksiat dan dosa berleluasa di muka bumi ini.

Firman Allah SWT: “Maka setiap mereka itu Kami binasakan dengan sebab dosanya (mereka sendiri), iaitu ada antara mereka yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada dibinasakan dengan letusan suara menggempakan bumi; dan ada yang Kami timbuskan di bumi; dan ada pula Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka tetapi merekalah menganiaya diri sendiri.” (Al-Ankabuut: 40)

Ahmad Sanusi berkata, ayat al-Quran itu mengingatkan betapa kaum terdahulu dibinasakan atas dosa yang mereka lakukan.

“Ketika menghuraikan ayat ini, Imam al-Qurtubi, menjelaskan terdapat kaum yang dihapuskan dengan angin dan batu, iaitu bumi diterbalikkan seperti kaum Nabi Lut AS.

“Terdapat juga kaum dibinasakan dengan pekikan suara sangat bingit hingga menghancurkan mereka seperti Thamud, iaitu kaum Nabi Soleh AS.

“Ada dalam kalangan mereka ditelan bumi seperti Qarun, manakala kaum yang ditenggelami air ialah umat Nabi Nuh AS dan Firaun yang dibinasakan disebabkan dosa serta keingkaran mereka terhadap Allah SWT,” katanya.

Allah SWT berfirman: “Timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat serta laut dengan sebab apa yang dilakukan tangan manusia; kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk mereka supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Ar-Ruum: 41)

Beliau berkata, Imam Ibnu Kathir dalam kitabnya, Tafsir al-Quran al-Azim ketika menghuraikannya menyebut kerosakan dimaksudkan ialah bencana atau musibah menimpa di bumi disebabkan maksiat dilakukan manusia.

Ahmad Sanusi berkata, Allah SWT banyak memberi peringatan kepada umat manusia yang banyak melakukan dosa dan maksiat ini.

Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya orang suka menghebahkan tuduhan buruk dalam kalangan orang beriman, bagi mereka azab tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat; dan (ingatlah) Allah SWT mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui.” (An- Nur: 19)

Beliau berkata, Imam al-Tabari menjelaskan mereka yang suka menceritakan kisah jahat seperti perlakuan zina atau kisah tidak baik akan dikenakan azab Allah SWT.

“Ayat ini menceritakan mereka yang suka menyebarkan kisah zina dalam kalangan orang beriman dan menzahirkan kisah jahat ini akan dikenakan azab pedih.

“Malah Imam al-Sa’di dalam tafsirnya pula menjelaskan perkara dipandang tidak baik atau jijik di sisi masyarakat seperti amalan songsang tidak boleh dijadikan kempen umum dalam masyarakat,” katanya.

Ahmad Sanusi berkata, Rasulullah SAW mendidik kita supaya menjalankan amar makruf dan nahi mungkar dalam menolak pelakuan bertentangan dengan syariat Islam.

Katanya, kerosakan dilakukan sebahagian Muslim, sekiranya tidak dicegah akan menyebabkan keseluruhan umat menerima musibah disebabkan tindak-tanduk mereka itu.

Ia dijelaskan sahabat Nabi SAW, Ibn Abbas RA yang menyatakan: “Allah SWT memerintahkan orang beriman supaya jangan membiarkan kemungkaran berlaku di sekeliling mereka. Jika mereka membiarkan kemungkaran itu, maka Allah SWT akan mengirimkan azab ke atas mereka semua, satu kerosakan yang akan menimpa mereka semua tidak kira yang melakukan kezaliman (maksiat dan dosa) mahupun mereka tidak melakukan maksiat itu.”

Beliau berkata, Islam sentiasa mendidik umatnya supaya sentiasa nasihat menasihati seperti firman Allah SWT: “Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang beriman dan beramal salih serta mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar.” (Al-Asr: 1-3)

“Ia bermakna manusia sama ada berlaku maksiat atau tidak di persekitarannya, proses saling nasihat-menasihati mesti sentiasa berlaku kerana manusia bersifat lalai.

“Tanpa amalan nasihat-menasihati, manusia terkadang tidak menyedari kesalahan yang dilakukannya,” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts