Fenomena menghina Allah dan Rasul

  1. Kebelakangan ini telah terzahir satu fenomena yang tidak sihat di mana anggota Muslim itu sendiri menghina agama sendiri. Ditambah pula cercaan seorang lelaki yang menyifatkan Allah dan Rasul dengan sifat-sifat yang tidak layak baginya.
  2. Kemunculan fenomena sebegini adalah sesuatu yang sangat membimbangkan. Lebih merisaukan apabila golongan liberal mendakwa ekspresi tersebut merupakan salah satu daripada hak kebebasan bersuara menurut neraca pertimbangan liberal.
  3. Pada hakikatnya, sifat mempersenda Allah dan Rasul ini lahir dari benak kumpulan munafik yang memusuhi Islam pada zaman Rasulullah. Dalam Perang Tabuk, Allah mendedahkan sikap mereka yang mempersenda perjuangan Rasulullah. Perkara ini dipaterikan di dalam al-Quran di mana Allah berfirman:

وَلَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ ۚ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ

Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main”. Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?” (Surah al-Taubah: 65)

  1. Menurut al-Imam al-Baghawi, sekumpulan orang munafik mengejek-ejek perjuangan Rasulullah yang berusaha menyebarkan dakwah hingga ke sempadan wilayah Rom. Mereka mempersenda usaha dakwah Baginda dan menakut-nakut para mujahidin bahawa mereka akan kalah bertempur dengan kerajaan Rom nanti. Allah mendedahkan sikap buruk mereka ini sehingga dinukilkan di dalam al-Quran.
  2. Hari ini kita melihat bukan sahaja wilayah Rom tersebut menerima Islam bahkan segenap pelusuk muka bumi ini disinari dengan risalah dakwah. Allah menghina sikap munafik yang mempersenda Islam dan RasulNya.
  3. Hari ini muncul golongan yang sama bermain-main dengan sentimen agama. Allah memerintahkan kita agar menjauhkan diri dari golongan sebegini. Mereka tidak layak untuk diberikan perhatian sebaliknya mereka hanya menjemput azab Allah. Firman Allah:

وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا ۚ وَذَكِّرْ بِهِ أَن تُبْسَلَ نَفْسٌ بِمَا كَسَبَتْ لَيْسَ لَهَا مِن دُونِ اللَّهِ وَلِيٌّ وَلَا شَفِيعٌ وَإِن تَعْدِلْ كُلَّ عَدْلٍ لَّا يُؤْخَذْ مِنْهَا ۗ أُولَٰئِكَ الَّذِينَ أُبْسِلُوا بِمَا كَسَبُوا

Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). (Surah al-An’am: 70)

  1. Saidina Abdullah bin Abbas pernah menceritakan tentang seorang lelaki yang memiliki Umm Walad (seorang hamba perempuan yang melahirkan anak kepada tuannya). Perempuan ini (Umm Walad tersebut) sering mengutuk (mencaci: tashtumu) Nabi. Setelah dinasihati oleh lelaki ini berkali-kali, perempuan tersebut masih kekal dengan sifatnya yang menghina Rasulullah. Hilang sabar dengan sikap perempuan itu, lelaki tersebut mengenakan hukuman. Apabila perkara ini disampaikan kepada Nabi, Rasulullah berkata perjanjian keamanan yang diberikan kepada perempuan tersebut telah terbatal kerana menyakiti Nabi.
  2. Adakalanya ketegasan undang-undang perlu dilaksanakan bagi mendidik masyarakat tentang batasan-batasan yang perlu mereka fahami dalam menyuarakan pandangan. Dalam menangani isu ini, tidak salah untuk kita luahkan rasa kecewa terhadap penghinaan yang dilakukan ke atas Allah dan RasulNya. Namun, jangan pula kita bertindak sesuka-hati. Sebagai Muslim, seseorang seharusnya melakukan laporan polis dan menyerahkan tindakan biadap ini kepada pihak berkuasa.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts