Gelaran ‘ustaz’ bagi yang mengajar ilmu agama

 

Saya berpandangan sesiapa sahaja yang mengajar masyarakat ilmu agama waima membaca Al-Quran, atau pendidikan berteraskan agama seperti fiqh, tajwid, akidah dan seumpamanya, sesuai digelar ustaz atau ustazah.

Ibarat gelaran guru digelar kepada mana-mana orang yang pekerjaannya adalah mengajar. Seperti mana profesion lain, label ‘ustaz’ mempunyai peringkat yang tertentu bermula daripada seawal mengajar asas agama, hinggalah kepada ilmu agama yang tinggi.

Adapun mengikatnya dengan kebolehan berbahasa Arab adalah suatu bentuk pengecilan skop terhadap istilah ustaz atau ustazah itu sendiri, sedangkan ia mempunyai tahapan dan martabat yang banyak.

Kebolehan berbahasa Arab (samada secara membaca atau bercakap) sepatutnya diletakkan dalam tahap yang agak tinggi berbanding selain mereka.

Bila berlakunya kecelaruan atau penyalahgunaan, yang sepatutnya dilihat adalah pada masalah tertentu, dan keperibadian tertentu. Bagi menyelesaikan masalah tersebut, wajarlah untuk kita kenalpasti kepakaran dan medan mana-mana ustaz yang timbul dalam media sosial atau mempunyai populariti tertentu.

Jangan pula kita memborongkan bahawa semua yang digelar ustaz atau ustazah itu mengetahui semua selok-belok ilmu agama, ibaratnya dia berada di tahap ulamak mujtahid (peringkat ulama tertinggi) yang mempunyai kepakaran dalam semua bidang keilmuan agama hingga mampu berijtihad.

Justeru jika berlaku kekeliruan dan isu terhadap beberapa peribadi ustaz atau ustazah tertentu, wajarlah dikenalpasti kelulusan dan bidang mereka, supaya pandangan mereka hanya diambil kira dalam sudut bidang mereka sahaja, tanpa memborong kesemua pandangan mereka sebagai pandangan agama yang mutlak.

Contohnya, kalau dia seorang pakar hadis, rujuklah isu berkenaan hadis kepadanya, bukan rujuk berkenaan isu fiqh dan usul fiqh. Ini kerana kedua-dua bidang itu punyai istilah tersendiri dan metodologi tersendiri dalam berinteraksi dengan syariah.

Bagi saya sendiri, jika nak dibahagikan peringkat ulama’, mungkin boleh kita mengikut peringkat berikut :

Peringkat yang pertama adalah para ahli bahasa yang bergelumang dengan ilmu Bahasa Arab dan menjadi pakar dalamnya.

Peringkat kedua adalah para ahli tafsir dan ahli hadis yang bergelumang dengan ilmu wahyu dan mempunyai kepakaran dalam ilmu mengenal rijal dan seumpamanya.

Peringkat ketiga iaitu peringkat tertinggi pula adalah para ustaz atau ulama’ yang bergelumang syariah dan fiqh, dengan permasalahan fiqh dan fatwa, yang memerlukan kemampuan untuk berijtihad dalam menghasilkan ijtihad baharu dan fatwa semasa yang baharu.

Sudah pasti peringkat ketiga memerlukan ilmu utama bagi ulama’ peringkat pertama dan kedua, baharulah dia mampu mencapai peringkat ketiga, kerana peringkat ketiga ini adalah matlamat dalam ilmu syariah hingga mampu mengeluarkan fatwa dan ijtihad semasa dalam permasalahan para mukallaf.

Oleh itu, jika ada permasalahan tertentu, rujuklah ahlinya, peruntukkan sedikit masa dan tenaga untuk mencari, bertanya dan belajar, insyaAllah kita akan jumpa apa yang sepatutnya.

Kalau kita jenis malas nak cari, ustaz yang sebegitu jugalah yang kita akan jumpa.
Kita hanya akan jumpa, apa yang sesuai dengan diri kita.
Allah itu Maha Adil.

Wallahua’lam bissawaab.

Ustaz Syamil Esa

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts