‘Insya-Allah RUU 355 akan direalisasikan sebelum saya mati’

 

KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 akan dibentangkan mengikut tertib dan kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, ketika menjelaskan perkara itu berkata beberapa proses penting perlu diteliti dan dilaksanakan terlebih dahulu, sebelum rang undang-undang (RUU) pindaan akta berkenaan dibawa ke Parlimen.

Katanya, ia mencakupi perbincangan di peringkat Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil yang ditubuhkan Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

“Perbincangan ini bagi menilai dan menyeragamkan semua pindaan serta penggubalan undang-undang membabitkan hal ehwal Islam.

“Oleh itu, kerajaan perlu beri ruang dan masa yang wajar serta munasabah kepada jawatankuasa teknikal untuk teliti cadangan pindaan, selain menggubal dan berunding dengan negeri-negeri.

“Adalah amat wajar dan teratur sekiranya cadangan untuk meminda akta ini dirundingkan dengan negeri dulu, supaya ia jadi undang-undang yang mantap serta menyeluruh, malah mewakili aspirasi semua negeri.

“Ini kerana Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), mahkamah syariah negeri, jabatan pendakwaan syariah negeri, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), pejabat mufti negeri dan pejabat penasihat dan undang-undang negeri akan terkesan secara langsung dengan pindaan akta ini,” katanya menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Dewan Rakyat, hari ini.

Menzahirkan penghargaan susulan pencerahan yang diberikan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Kulim Bandar Bharu) bagaimanapun meminta perincian lanjut berhubung jangkaan RUU 355 akan dibentangkan di Parlimen.

Zulkifli berkata pindaan Akta 355 akan dibentangkan bila tiba masa yang sesuai, selepas setiap proses penggubalannya dilaksanakan mengikut lunas perundangan.

“Saya berharap, insya-Allah ia (pindaan RUU 355) akan dapat direalisasikan sebelum daripada saya mati,” katanya.

Cadangan pindaan Akta 355 dibentangkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016 sebagai RUU persendirian.

Bagaimanapun, perbahasan mengenainya ditangguhkan dan versi yang disemak semula dibentangkan pada November 2016 dan April 2017.

RUU 355 itu bertujuan meningkatkan bidang kuasa menghukum Mahkamah Syariah bagi kesalahan jenayah Syariah tanpa membabitkan masyarakat bukan Islam, namun ia hanya di peringkat mengemukakan usul tanpa perbahasan.

Mengemukakan perbincangan dan perancangan lanjut, Zulkifli berkata, draf pindaan itu perlu disembah maklum ke Majlis Raja-Raja kerana hal ehwal Islam, termasuk mahkamah syariah dan undang-undang syariah ialah bidang kuasa sultan, raja dan yang dipertua besar negeri-negeri.

“Sebaik saja semua proses dan tertib ini selesai, baru pindaan ini (Akta 355) dibentangkan,” katanya.- Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts