Islam muliakan wanita sejak 1,400 tahun lalu

 

TINDAKAN golongan wanita bertanyakan tentang hak mereka bukan hanya telah lama tercetus tetapi ia juga merentasi latar belakang bangsa manusia yang hidup atas muka bumi ini.

Rasulullah SAW sendiri pernah ditanya oleh isteri Baginda iaitu Ummu Salamah r.a. dan antaranya, kenapa wanita tidak disebutkan dalam al-Quran tentang kebenaran untuk berperang dan harta pusaka.

Pertanyaan itu dijawab melalui ayat-ayat al-Quran yang diwahyukan kepada Baginda SAW. Antaranya, Surah al-Ahzab:35, Ali Imran: 195 dan al-Nisa`:32.

Ketiga-tiga surah itu bukan hanya memuliakan kaum wanita bahkan mengangkat darjat mereka lebih baik berbanding sebelum kedatangan Islam.

“Justeru, kenapa kaum wanita hari ini masih lagi bertanya tentang haknya atau berasa Islam tidak berlaku adil kepada mereka. Jawapannya, kerana kita telah jauh daripada al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

“Keadaan itu menyebabkan kita tidak begitu memahami dan menghayatinya dalam erti kata sebenar,” kata Timbalan Dekan Akademik dan Penyelidikan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk, Ancaman Liberalisme dan Feminisme Dalam Pensyariatan Wanita Islam di Seminar Wanita Cakna Isu Semasa – Sinergi Wanita Islam Masa Kini di Putrajaya, baru-baru ini.

Seminar setengah hari itu dianjurkan oleh Panel Isu-isu Semasa Wanita Islam (PISWI) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Yayasan Ihtimam Malaysia (YIM).

Ia dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Zainal Abidin Jaffar. Yang turut hadir, Pengerusi PISWI, Prof. Datuk Seri Dr. Zaleha Kamarudin.

Rafidah Hanim dalam kertas kerjanya itu menggariskan beberapa penyebab kenapa pertanyaan itu masih wujud pada hari ini dan antaranya kerana wujudnya gerakan Islam Liberal.

Gerakan tersebut tidak hanya mempersoal asas agama tetapi juga pandangan ulama.

“Menurut Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas melalui bukunya, Islam and Secularism (1993) menganggap gerakan itu sebagai suatu pandangan berdasarkan retorik dan emosi semata-mata.

“Malah, mereka juga cuba menyamaratakan golongan ulama dan bukan ulama dalam membahaskan perkara-perkara asas (rukun) Islam,” katanya.

Dalam menangani isu sedemikian, seorang lagi pembentang, Ketua Pegawai Eksekutif TV Al-Hijrah, Izelan Basar menyarankan agar kaum wanita Islam perlu memiliki sikap dinamik.

Sikap sedemikian perlu supaya mereka tidak dilihat sebagai ketinggalan dalam arus semasa apabila berdepan dengan apa jua perbincangan berkaitan hak wanita sama ada oleh orang Islam atau bukan Islam.

Malah, beliau menambah, sikap berkenaan juga akan mendorong mereka bersikap lebih berhati-hati dan melakukan banyak penyelidikan terhadap isu wanita yang ditimbulkan agar ia sejajar dengan ajaran dan nilai Islam.

“Wanita Islam perlu menyedari bahawa isu wanita yang diperkatakan hari ini bukan perkara baharu dan sudah banyak kali dijawab panjang lebar tetapi yang menjadikannya baharu itu kerana platform penyebarannya sahaja.

“Kalau dahulu, platformnya adalah buku, majalah, akhbar, risalah atau ceramah tetapi hari ini, ia menggunakan media sosial seperti Facebook, Instagram, WhatsApp dan Telegram,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk, Impak Media Massa Kepada Wanita Islam. – Utusan

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts