Jakim pantau penyebaran ajaran sesat di media sosial

SEREMBAN: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan terus memantau perkembangan penyebaran ajaran sesat di negara ini termasuk melalui kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, kerjasama dengan SKMM adalah berikutan terdapat ajaran-ajaran sesat yang disebarkan menerusi media sosial.

“Di media sosial terlalu banyak ajaran sesat, seperti yang kita tahu mereka ini berpangkalan di luar negara dan dibawa ke sini.

“Ada yang boleh diuruskan kami akan serahkan kepada SKMM untuk siasat siapakah penyebarnya dan kalau libatkan fizikal seperti di Perak yang berlaku baru-baru ini, kami beritahu kepada pihak jabatan agama Islam negeri untuk bertindak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Multaqa Murabbi Ummah (MMU) Peringkat Negeri Sembilan di Masjid Sri Sendayan, Bandar Sri Sendayan di sini semalam.

Majlis dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Suhaimi Kassim yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Idris menambah, situasi penyebaran ajaran sesat di negara ini disifatkan beliau masih lagi terkawal namun mengharapkan kerjasama daripada pihak berkuasa agama negeri untuk melakukan penguatkuasaan selain orang ramai yang dinasihatkan memilih tempat pengajian agama yang betul.

“Jakim tidak ada kuasa untuk bertindak dan kami hanyalah untuk salurkan maklumat dan kemudian disalurkan kepada negeri-negeri untuk diambil tindakan. Kalau ada perkara-perkara karut itu, segera beritahu kepada kami.

“Saya nasihatkan juga kepada orang ramai, apabila kita belajar, pastikan tempat-tempat yang betul. Asas untuk kita mengaji (belajar) senang sahaja, kita tengok perkara asas, kalau rasa guru yang mengajar itu buat perkara yang tidak betul seperti berlaku percampuran lelaki dan perempuan, itu sudah kita lihat sesuatu yang tidak betul.

“Contohnya, solat pakai niat, itu sesuatu yang pelik, kita belajar sejak kecil, kalau tanya anak-anak mereka juga tahu, perkara asas solat jadi saya harap masyarakat dapat ilmu yang betul,” katanya.

Sementara itu, Idris berkata, tahun ini seramai 1,696 orang terdiri daripada imam, bilal, siak dan guru takmir di Negeri Sembilan akan menerima bayaran khas sebanyak RM500 secara one-off daripada Kerajaan Persekutuan yang disalurkan melalui Jakim.

“Pembayaran melibatkan peruntukan RM848,000 bagi menghargai sumbangan mereka dalam pengimarahan masjid khususnya di Negeri Sembilan. Insya-Allah bayaran khas ini akan disalurkan kepada penerima sebelum menjelang Aidilfitri pada tahun ini,” katanya. – UTUSAN

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts