Lembaga Zakat Selangor pergiat kempen berzakat

 

LEMBAGA Zakat Selangor (LZS) aktif memperkasakan usaha penyampaian dakwah dan perkhidmatan kepada pengeluar zakat menjelang hujung tahun ini.

Usaha proaktif tersebut adalah bagi menyantuni keperluan asnaf khususnya di negeri Selangor untuk tahun hadapan.

Menurut Ketua Divisyen Kutipan LZS, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini, antara usaha yang dilaksanakan adalah melalui kempen-kempen yang dilancarkan menerusi pelbagai platform termasuk media arus perdana, media sosial dan sesi turun padang.

“Ini termasuk program perkongsian di lapangan seperti ‘Zakat Street On Wheels’ di Uptown Shah Alam yang diadakan pada 15 Disember lalu.

“LZS dengan kerjasama rakan media elektronik radio, selebriti tanah air seperti Andy Flop Poppy; Saiful Apek; Daqmie; Pencetus Ummah (PU) Amin; Imam Muda Fakhrul serta Afad & Friend Buskers bergandingan turun padang meluaskan kesedaran zakat dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda.

“Ia merupakan pendekatan santai LZS bagi menyampaikan maklumat zakat secara bersahaja selain mendekati masyarakat yang tidak berkesempatan untuk ke kaunter LZS. Selain itu kita juga membuka kaunter untuk umat Islam memohon zakat sekiranya layak,” katanya ketika ditemui Mega, Mimbar, Utusan Malaysia di pejabat LZS, Shah Alam.

Mohd. Sabirin berkata, pada musim puncak iaitu Disember, LZS turut mengadakan beberapa kempen insentif dengan menyasarkan golongan tertentu sekali gus meraikan pengeluar zakat yang memberi sokongan kepada LZS dan bersama-sama menyantuni asnaf di Selangor.

Katanya, antara kempen insentif tersebut ialah ‘Kempen Bayar Zakat Melalui Online’ atau FPX yang bermula dari 15 November hingga 31 Disember.

“Insentif ini khusus untuk pengeluar zakat yang memilih kaedah bayaran dalam talian bagi melunaskan tanggungjawab zakat menjelang hujung tahun ini.

“Kita berharap dengan promosi pembayaran zakat pendapatan dan perniagaan melalui medium ini akan meningkatkan kesedaran dalam kalangan umat Islam terutama golongan muda untuk menunaikan zakat. Untuk makluman, pada 2017 pengeluar zakat berusia bawah 30 tahun adalah kira-kira 38,000 pembayar yang merangkumi 13 peratus jumlah pengeluar zakat individu di LZS.

“Selain itu kita juga menganjurkan kempen MyZakat@8 bermula 15 Oktober hingga 31 Disember khusus untuk pengeluar zakat perniagaan dan zakat saham. Sasaran kami ialah usahawan sama ada syarikat mahupun individu, “katanya.

SKIM POTONGAN GAJI

Jelasnya lagi, LZS turut menyediakan insentif untuk pengeluar zakat yang membuat bayaran zakat melalui Skim Potongan Gaji dengan memperkenalkan ‘Kempen 8 to 8’ bermula 1 September hingga 31 Disember dengan menawarkan hadiah menarik.

Tawaran itu tambahnya, terbuka kepada mereka yang menambah caruman bulanan sepanjang tempoh kempen itu berlangsung.

Selain itu katanya, melalui ‘Kempen Berbahagia Dengan Memberi’ di bawah Skim Berkat, LZS menyasarkan majikan yang memulakan penyertaan potongan gaji bagi pihak warga kerja syarikat berkenaan bermula 1 Oktober hingga 31 Disember.

Mengulas mengenai program dakwah dan pendidikan berzakat, Mohd. Sabirin memberitahu, pihaknya juga mengadakan pelbagai inisiatif lain yang menyasarkan semua peringkat umur bagi merealisasikan dakwah zakat seperti bengkel pengiraan bayaran zakat bagi kumpulan pengurusan orang pencen dan taksiran zakat sendiri bagi golongan peniaga.

LZS menurut beliau, mengadakan kempen dalam bentuk pendidikan seperti ‘Zakat Didik’ di peringkat sekolah rendah dan ‘Zakat A to Z’ bagi mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT).

“Kita berharap generasi muda dapat memahami kefarduan menunaikan zakat terutama pelajar IPT yang bakal membina kerjaya dan mempunyai pendapatan sendiri,” katanya. – Utusan Malaysia

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts