Mufti tegur Malaysiakini, FMT siar artikel bercanggah dengan kenyataan

 

KUALA LUMPUR – Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegur dua portal liberal, Malaysiakini dan Free Malaysia Today (FMT) agar tidak mengundang sentimen negatif terhadap institusi fatwa menerusi laporan yang disiarkan.

Zulkifli berkata, laporan oleh kedua-dua portal tersebut menerusi artikel Pejabat Mufti: Jangan khalwat dalam teksi, Uber, Grabcar bercanggah dengan kenyataan daripada pihaknya.

“Tajuk yang diberikan oleh dua portal ini jelas bercanggah dengan kesimpulan yang dinyatakan.

“Jika hanya melihat tajuk tanpa membaca kandungan, pembaca jelas akan mentafsirkan bahawa mufti melarang perbuatan khalwat dalam teksi, Uber serta GrabCar,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Tajuk artikel yang dikeluarkan Malaysiakini mengundang perdebatan antara para netizen, malah terdapat komen daripada pembaca yang disiarkan di portal berkenaan menghina institusi mufti.

“Penyiaran artikel berserta tajuk yang tidak sesuai itu juga mengundang komentar negatif yang boleh mencemarkan kredibiliti dan pendirian Pejabat Mufti yang konsisten membawa gagasan terbuka berlandaskan syarak serta keharmonian antara kaum dan agama.

“Kami menyeru kepada Malaysiakini dan FMT untuk lebih berhati-hati dalam memberikan laporan kerana kebanyakan laporan berkenaan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini tidak mencerminkan sikap media yang jujur dalam melaporkan sesuatu isu,” katanya.

Zulkifli yang begitu kesal dengan isu itu berkata, penyiaran laporan berkenaan memberi sentimen negatif kepada institusi fatwa yang sering dikaitkan dengan hal-hal yang negatif walaupun itu adalah sebaliknya.

“Sekiranya Malaysiakini jujur dalam memberi laporan, sewajarnya kesimpulan akhir yang mengharuskan berserta dhawabit (asas) yang telah disebutkan lebih wajar dijadikan tajuk utama.

“Persepsi buruk akan berlaku dengan tajuk yang seakan-akan sekadar mengejar jumlah pembaca tertinggi seperti ini dan membawa kepada perasaan tidak senang pembaca Islam dan bukan Islam dengan isu yang diulas ini,” katanya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
1 comment
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts