NGO serah memorandum perkasa perundangan syariah

GEORGETOWN: Sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Pulau Pinang  yang bernaung di bawah Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) bertindak menyerahkan memorandum kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dalam usaha menambah baik sistem perundangan syariah negara.

Pengerusi Pembela Pulau Pinang, Azmi Jaafar berkata, pihaknya berharap MAINPP dapat memainkan peranan proaktif dalam cabaran-cabaran perundangan syariah pada masa kini. 

“Sekiranya tiada tindakan yang tuntas dibuat sekarang berkemungkinan padah yang lebih besar akan menimpa umat Islam.

“Umat Islam sebagai kaum majoriti di Malaysia merasakan himpitan perundangan yang dihadapi sekarang akan memberi kesan negatif terhadap usaha untuk mengarusperdanakan syariah di negara kita,” katanya ketika ditemui di perkarangan MAINPP, di sini hari ini.

Memorandum berkenaan diserahkan kepada Setiausaha MAINPP, Datuk Samsudin Bakar dan difahamkan memorandum yang sama turut diserahkan oleh NGO-NGO di negeri lain yang bernaung di bawah Pembela.

Menurut Azmi, sebagai pihak berkuasa utama agama Islam dalam negeri pihaknya menyeru MAINPP dan majlis agama Islam negeri lain memastikan jawatankuasa teknikal yang sedia ada untuk mengkaji semua undang-undang samada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang syariah negeri ditambah baik.

“Selain ditambah baik, undang-undang berkenaan juga perlu dipinda untuk tidak lagi memberi ruang kepada sebarang cabaran serta kekurangan pada masa akan datang,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga menyeru MAINPP menaik taraf jawatankuasa teknikal sebagai sebuah suruhanjaya sepenuh masa yang bebas bagi memastikan kelancaran proses mensyariahkan perundangan negara.

“MAINPP juga perlu memastikan Jawatankuasa Pelantikan Hakim berfungsi menilai calon-calon yang akan dilantik sebagai hakim bagi memastikan mereka yang dilantik memahami jurispruden watan dan perundangan syariah,” katanya.

Dalam pada itu tambah beliau, MAINPP juga perlu berusaha mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan Perlembagaan Persekutuan versi bahasa Melayu sebagai rujukan utama dalam proses kehakiman dan perundangan bagi menggantikan versi bahasa Inggeris yang ada. –UTUSAN

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
1
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts