Pemergian Al-Marhum Tuan Guru Dr Soberi Awang

Perginya guru Fiqh, Usul Fiqh, Mazhab Syafi’i, Fiqh Am, Pengajian Turath, Muamalat dan murabbi kehidupan. Syeikh yang meniupkan rasa tawadhu’ dalam masa yang sama ‘izzah atas kebenaran. Tidak menyakitkan hati sesiapa, namun tegas menegur andai tersalah walau satu i’rob.

Pulang daripada Mesir 10 tahun lepas (2013), saya mula beramal dengan Majlis Ulama ISMA (MUIS), disitulah bermulanya pengenalan secara rapat dengan Al-Marhum Tuan Guru, hampir setiap minggu kami berjumpa. Dalam keadaan ideal, nak pilih kitab ceramah apa pun terkial-kial. Al-Marhum membimbing dari pemilihan kitab, laras bahasa, sehinggalah cara menyentuh isu semasa dalam mendidik masyarakat.

Tiada satu mesej pun yang saya bertanya melainkan sejam dua telah berbalas, tiada temujanji melainkan beliau peruntukkan masa, tiada telefon melainkan beliau akan angkat atau akan telefon balik, murabbi yang cukup tinggi ketekunan dan keikhlasan.

Sepanjang beramal di dalam MUIS daripada 2013 sehingga 2019 sebelum melepaskan jawatan kepada pimpinan baru, berani saya katakan beliau adalah JKP yang paling berdedikasi, tidak pernah “miss” mesyuarat, melainkan ketika di luar negara, dan sentiasa melekat datang dengan KPI yang ditetapkan.

Ringkasnya, saya cuba coretkan beberapa ketokohan dan tarbiah yang diberi peluang oleh Allah bersama beliau;

  1. Kecintaan kepada ilmu dan ulama.
    Umur beliau 50-an tidak menghalang untuk terus menerus mempunyai kecintaan ilmu yang amat tinggi. Bulan lepas dengan penuh semangat beliau bercerita kepada saya sebuah kitab yang baru beliau ketemui, saya sendiri walaupun muda tidaklah teruja setinggi beliau, menampakkan jurang kecintaan ilmu di antara kami.

Pernah ketika saya “jammed” di dalam kajian berhubung pandangan Mazhab Syafi’ii di dalam Kitab Majmu’ (Bahagian Tulisan Syeikh Muti’i), buntu mencari asal pandangan tersebut daripada Mazhab Syafi’i, kerana ayat yang serupa hanya ditemui di dalam Al-Mughni (Ibn Qudamah), maka sangkut dan ditegur oleh Dr Aznan kerana atas disiplin ilmu pandangan Syafi’i tidak boleh diquote dari kitab Mazhab Hanbali (Al-Mughni).

Maka pulunlah membaca Minhaj, dan sebanyak-banyak syarahan dan hashiah-nya, serta kitab2 Imam Nawawi yang lain, Al-Ghazali dan Suyuti. Jammed tidak ketemu. Akhirnya berjumpa beliau, beliau memulakan dengan “Ana tidak tahu” tetapi selepas membaca, beliau kata “gaya bahasa macam Nihayah Mathlab, Juwaini. Anta cuba check”, benarlah kata beliau.

Dengan laras bahasa sahaja sudah tahu di kitab mana!. Beliau pernah bercerita seorang pelajar Sarjana beliau digagalkan kerana beliau nampak meniru kitab turath 100% (plagiat) walaupun panel yang lain tidak perasan. Terasa begitu kerdil bersama beliau.

Kecintaan kepada ulama’ pula, sepanjang 10 tahun bersama beliau, hampir setiap benua beliau mempunyai kenalan Ulama’ dan Ulama’ di sana mengenali beliau. Beliau bercerita tentang Ulama’ Indonesia, Filipina, Thailand, China, Pakistan, India, Bangladesh, Arab, Afrika, Eropah, dan lain-lain. Ulama’ bumi Sham di Palestin, Jordan, Syria dan Lubnan memang amat dekat dengan hati beliau. Beliau amat berjasa menghubungkan Ulama’ Palestin dengan Ulama’ Indonesia, Thailand, Singapura dan Malaysia.

Majoriti Ulama’ yang saya kenali selepas pulang ke Malaysia, beliaulah yang mengajak untuk bertemu.

  1. Tawadhu’ dan Wara’
    Pada tahap ilmu beliau, yang setiap celah furu’ Fiqh Syafi’i diulas dengan bersahaja, apabila membaca mesej-mesej bersama beliau, sentiasa dimulakan dengan “Ana tidak tahu”, dan diakhiri dengan “Wallahua’alam”, beliau tidak sombong dan sentiasa merasai orang lain lebih berilmu daripada beliau. Apabila beliau bertanya berkaitan urusan perbankan Islam dengan saya, gaya menunduk dan seolah tidak mengerti walaupun beliaulah penulis Kamus Muamalat BA – BM !!.

Wara’ merupakan “forte” akhlak beliau, untuk mengeluarkan sepatah pandangan, beliau akan senyap dan begitu takut untuk memberi pandangan kerana wara’. Setiap makanan yang beliau makan, akan begitu teliti, setiap masa yang beliau ada, benar-benar beliau jaga.

  1. Ukhuwwah dan Mahabbah
    Ketokohan Ukhuwwah dan Mahabbah beliau mampu mengalirkan air mata ramai manusia. Senyuman beliau bertanya khabar, mengambil berat amat ketara. 2-3 kali saya masuk Hospital, beliau antara terawal mengirim mesej dan mendoakan.

Apabila beliau mendengar sahabat beliau terasa hati, beliau akan peruntukkan masa untuk memujuk dan mencari jalan “islah” antara sesama saudara se-islam. Beliau mempu menyejukkan pergaduhan Aswaja dan Salafi, Jemaah dan Parti Politik, apabila beliau duduk semeja.

Baru-baru ini, usai keluar hospital, terjumpa beliau di program berdekatan rumah (saya hadir dalam sejam, kemudian terus pulang kerana ingin berehat). Muka beliau tampak risau, terus menyapa ana “Akhi, macam mana keadaan badan? Risau ana”. Sejuk hati dan jiwa, rasa hilang lelah. Selepas itu kami bersembang sebentar, dan beliau bertanya tentang urusan Master, beliau menawarkan menjadi SV dengan Tajuk Waqaf sejak tahun lepas, namun tidak kesampaian.

Semoga ilmu dan perjuangan beliau kami berjaya sambut dengan berssungguh-sungguh. Beliau telah pergi membenarkan apa yang beliau impikan, menjadi seorang ulama’ pejuang mendidik berdakwah kepada Ummah, membina sebuah kekuatan Ilmu, semoga kita diberi kekuatan menyambut dengan hati yang besar.

Masih rasa tidak percaya beliau telah pergi, rindu amat mendalam di hati… semoga ianya menjadi kekuatan untuk kami.

Semoga Allah mengurniakan pahala syuhada’ kepada beliau, pergi bertemu ilahi ketika berjuang fisabilillah.

Allahuakbar, pemergian yang dicemburui dan diingini.

Sumber : FB Suhail Sufian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts