Perlu anjakan paradigma bendung ancaman hedonisme

BUDAYA hedonistik bukanlah perkara yang baru. Namun begitu, kebanjirannya disertai sikap tidak mempedulikan kesan buruk, sama ada terhadap individu mahupun kelompok masyarakat, semakin lama semakin merunsingkan.

Kehadiran teknologi dengan capaian meluas pula menjadikan individu-individu yang bijak menggunakan kuasa viral mudah menyebarkan pengaruh negatif dengan pantas sehingga sebarang bantahan dianggap kolot dan terkebelakang. Masyarakat yang jauh dari nilai ketuhanan dan sentiasa mendambakan peluang mencari keseronokan seterusnya, menjadi pemangkin terakhir membolehkan suburnya budaya ini.

Hedonisme dari segi maksud adalah pencarian kenikmatan tertinggi (highest pleasures). Ia adalah pengisi ketamadunan humanis. Apabila Tuhan dan agama ditolak tepi, tujuan kehidupan digantikan dengan menuruti kemahuan diri sendiri. Iaitu nafsu.

Hedonism merupakan bahan eksport Barat dari penjajahan mereka. Bermula dengan memperkenalkan candu sehingga membiaknya ketagihan melalui perdagangan china-India timur , hari ini, bahan eksport budaya Barat merangkumi semua bentuk hiburan yang tinggi elemen hedonistik seperti muzik dan filem.

Kewujudan teknologi dan era globalisasi mempercepatkan proses penyebaran budaya. Dahulu, sesuatu hanya menjadi viral atau sensasi setelah ia melalui beberapa proses menyaring dan menerbit berita. Berbeza dengan masa kini, proses viral hanya mengambil jangkamasa yang sangat pendek. Sensasi boleh terjadi semudah beberapa jam, atau semalaman, oleh sesiapa sahaja. Pihak berkepentingan seperti penguatkuasa atau ibubapa belum tentu sempat menepis sebarang kesan buruk. Maka wujudlah sub budaya yang negatif seperti sugardaddy dan sugarmummy misalnya, atau pesta arak di bulan Oktober, penggunaan pil-pil dadah di konsert-konsert, atau yang terkini kelaran di lengan remaja perempuan.

Muzik telah lama dijadikan alat sebaran ideologi. Lagu-lagu patriotik direka untuk menimbulkan perasaan cinta dan sayang terhadap tanah air dengan mengulang-ulang kebaikan sesebuah negara. Lagu patriotik yang dinyanyikan pada waktu perang pula dicipta untuk menaikkan semangat agresif ultranasional. Jika sesebuah lagu dilihat tidak sesuai dengan norma masyarakat, ia dihalang dari disebarkan. Malah, The Beatles juga pernah digam di negara mereka sendiri akibat lagu yang dikhuatiri mempromosi keseronokan khayalan dadah. Jika lagu tersebut wujud pada zaman internet di hujung jari, pasti tidak sempat digam sudah disiulkan anak muda muda jalanan.  

Begitu juga ideologi yang terselit pada muzik masa kini. Selain didominasi mesej cinta dan keghairahan (termasuk di dalam lagu-lagu islamik),  muzik juga dikenalpasti membawa arus feminisme dan seksualiti wanita oleh penyanyi-penyanyi wanita lewat 90an sehingga hari ini. Seiring zaman feminisme bukan sekadar mengenai political correctness, tetapi juga mengenai kebebasan melakukan apa sahaja tanpa perlu bertanggungjawab terhadap kerosakan yang ditinggalkan, termasuk berpakaian separuh bogel, menari dengan menghairahkan dan seks bebas.

Maka lahirlah para penyanyi wanita yang tidak segan silu berpakaian dalam sambil menari di khalayak atas nama hiburan.  Elemen “thug culture” atau budaya kesamsengan yang berlebihan yang dibawa penyanyi rap dan kulit hitam merupakan tema yang dianuti kebanyakan penembak-penembak sekolah di Amerika.  Tema kebebasan atau liberal wujud secara mutlak dalam semua lagu-lagu pemuzik popular bertaraf antarabangsa. Lagu-lagu mereka melaungkan nikmat kebebasan, termasuk kebebasan beragama dan cinta sesama jenis.

Untuk mengukuhkan pembudayaan sesebuah ideologi sudah tentu tidak cukup dengan sekadar senikata dan penataan lagu yang mengasyikkan. Lagu dipakejkan bersama sebuah gaya hidup yang ditaja kapitalis gergasi studio muzik. Di dalam pakej di jual wajah penyanyi yang cantik, muda, hidup  mewah, lincah menari, kekasih budiman dambaan semua. Pemasaran pula merangkumi muzik video penuh warna warni dan aksi, konsert yang kononnya meraikan segala kepelbagaian. Acara-acara pemasaran lain seperti aktiviti kelab peminat mendorong mentaliti berkumpulan yang didamba golongan muda yang masih tercari-cari identiti diri.

Memahami perkara di atas menjadikan kita tidak boleh meremehkan pengaruh muzik. Kuasa mempengaruhi dan perkaitannya dengan muzik telah lama difahami para pendukung revolusi. Jika tidak tidak mungkin pemikir ulung Plato menyatakan kerisauan beliau dengan kata-kata: inovasi muzik penuh dengan bahaya kepada negara secara kesuluruhan, dan ia sepatutnya dilarang. Apabila mod muzik berubah, undang-undang asas sesebuah negara juga sentiasa berubah bersama-sama mereka.

Di dalam Islam jumhur ulama menghukumi muzik sebagai haram kecuali beberapa yang menghukumnya harus. Walaubagaimanapun para ulama yang mengharuskan adalah dengan syarat selagi muzik itu tidak menggalakkan aktiviti maksiat. Maka adakah kita fikir sebahagian besar persembahan Blackpink dan Coldplay banyaknya mengajak kepada kebaikan berbanding kelalaian? Sudah tentu tidak. Kerana tujuan muzik pada zaman moden ini tidak lain hanya bagi tujuan hiburan.

Akhir kata, konsert mungkin tidak bersalah tetapi ideologi di ketengahkan, muzik yang dibawa konsert mempunyai potensi untuk memecahbelahkan masyarakat. Walau mungkin muzik tidak akan mampu dihapuskan terus dari kehidupan kita, namun secara asasnya setiap kita perlu suatu anjakan paradigma dalam memandang pengaruh muzik.

Dr Siti Nurhayati Adznan
ISMA Alor Gajah

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts
Read More

Jauhi tujuh dosa besar

  عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ قَالُوا…