Salah faham mesej Islam punca wujud pelampau agama: Sheikh Dr A’idh Al-Qarni

 

BANGI – Salah faham terhadap mesej Islam yang sebenar adalah antara punca wujudnya puak pelampau agama atau ekstremisme dalam kalangan umat Islam, kata ulama terkenal Arab Saudi, Sheikh Dr A’idh Al-Qarni.

Bercakap dalam syarahan Wacana Ilmiah: Ekstremisme Agama dan Kesannya Terhadap Dunia Islam di sini hari ini, beliau berkata, mesej Islam yang sebenar itu telah disebutkan secara jelas di dalam al-Quran, namun ianya gagal difahami oleh golongan berkenaan.

“Sebaliknya, yang sampai kepada mereka adalah mesej pedang, kekerasan, pembunuhan, pancung dan sembelih. Itu sahaja. Allah telah menyebut, ‘Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam [Al-Anbiya:107],” katanya.

Lebih 30 tahun berdepan dengan isu itu, beliau berkata, puak berkenaan sering melahirkan perasaan syak wasangka kepada golongan ulama, bahkan melabelkan ahli ilmu itu dengan pelbagai gelaran seperti ulama kerajaan, wang dan dunia.

“Mereka suka bercanggah dengan ijma’ tidak kira ulama atau seluruh umat Islam. Saya pernah bertemu dengan seorang pemuda di dalam penjara di Riyadh, yang hanya berkelulusan pendidikan rendah.

“Saya berbincang dengan dia dan mengatakan pemikiran kamu salah dengan para ulama dan pemikir. Namun dia menjawab, saya manusia mereka juga manusia. Allah menyuruh saya ikut al Quran dan Sunnah bukan manusia,” katanya.

Mac tahun lalu, Sheikh A’idh pernah menjadi sasaran bunuh apabila diserang oleh dua pelampau Syiah selepas menyampaikan ceramah di sebuah universiti di bandar Zamboanga yang terletak kira-kira 1 jam 30 minit perjalanan menaiki pesawat dari Manila, Filipina. Beliau cedera di bahu selepas terkena tembakan.

Dalam wacana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini, kawalan ketat juga diberikan kepada beliau.

Sheikh A’idh berkata, pelampau agama itu juga mudah mengkafirkan orang lain yang melakukan dosa dengan menggunakan pemikiran bertingkat, tanpa merujuk kepada ulama.

“Satu pemikiran (mereka) yang dulunya terkenal adalah negara-negara menjadi kafir hanya kerana wujudnya bank-bank muamalat riba. Riba adalah dosa, siapa yang membuat dosa, bermakna mendustakan al-Quran, dan siapa mendustakan al-Quran, dia telah menjadi kafir.

“Itulah pemikiran bertingkat mereka. Setiap orang yang melakukan dosa, mereka akan gunakan pemikiran bertingkat ini, tanpa bertanya kepada ulama seperti yang disebut oleh Allah di dalam al-Quran,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, puak ekstremis ini juga tidak percaya dengan kewujudan negara seperti yang ada pada hari ini, dan menyifatkan ia sebagai tidak sah kerana berbeza dengan pembentukan seperti zaman dahulu (kewujudan khalifah).

“Saya berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana sangat tegas dalam menentang Syiah. Saya menyebutkan perkara ini di merata-rata negara di mana kerajaan Malaysia adalah antara negara yang menentang Syiah daripada bertapak di sini,” katanya.

Beliau percaya fahaman melampau dan ekstrem itu juga didorong oleh penyakit diri atau masalah peribadi dengan menggunakan kekerasan untuk menyelesaikan konflik dalaman itu. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts