Sekat segera iklan judi di media sosial – PPIM

Kuala Lumpur: Kegiatan mempromosikan judi dalam talian secara terbuka di platform media sosial yang semakin ‘agresif’ perlu dibendung bagi mengelak wujud lebih ramai kaki judi hingga mengundang kerosakan kepada masyarakat.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan sehubungan itu menggesa pihak berkuasa segera menyekat jenayah sosial itu daripada terus berleluasa.

Katanya, apa yang menyedihkan iklan judi di media sosial sebenarnya bukanlah perkara baharu sebaliknya sudah lama berlaku.

“Saya pun tak tahu macam mana iklan judi di media sosial ini masih berterusan sebab penyedia platform media sosial pun ada kawalan sebenarnya.

“Contohnya ada penyedia plafform media sosial boleh menyekat kandungan yang menyiarkan mengenai syarikat perubatan atau farmaseutikal tertentu. Tetapi pelik, kandungan iklan judi boleh siar pula.

“Penyedia plafform media sosial kena buat sesuatu, tak boleh lepas tangan. Malah ada iklan menggalakkan judi dengan tawaran wang pendahuluan supaya berjudi,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, jika berlanjutan maka kegiatan judi akan menjadi bertambah teruk dan membarah dalam masyarakat.

Katanya, pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) kena main peranan untuk aktif mengesan dan menyekat sebarang iklan judi.

“Saya tahu apabila sekat nanti ada lagi kewujudan iklan baru, tetapi memang kena sekat. Tiada pilihan kena teruskan sekatan secara maksimum.

“Mungkin ada kaedah guna kata kunci tertentu maka ia disekat secara automatik,” katanya.

Pemantauan Harian Metro mendapati pengusaha judi dalam talian bukan sahaja bagai tidak gentar dengan operasi bertalu-talu pihak berkuasa, malah turut mempromosikan kegiatan mereka secara terbuka di media sosial.

Penelitian dilakukan Metro mendapati terdapat sekurang-kurangnya dua laman sosial menggunakan nama Malaysia diikuti kira-kira 16,000 pengguna.

Pemeriksaan bagi pentadbiran kedua-dua laman sosial berkenaan turut memaparkan pentadbir berada di Malaysia.

Sistem platform media sosial terbabit akan mengenal pasti kedudukan pentadbir berdasarkan penggunaan lokasi ketika memuatnaik bahan ke laman sosial itu.

Salah satu laman sosial judi dalam talian itu turut memaparkan hadiah wang tunai dimenangi pelanggan sebagai salah satu promosi kepada kaki judi.

Antara paparan di laman sosial itu, terdapat satu promosi kononnya pelanggan mereka berjaya memenangi hadiah wang tunai RM45,000 dengan turut menunjukkan wang yang diikat rapi.- My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts