Tabung Haji bersedia urus keselamatan, kesihatan jemaah haji musim hadapan

KUALA LUMPUR: Meskipun ibadah haji ditangguhkan dua kali akibat wabak COVID-19 yang melanda dunia, Tabung Haji (TH) tetap meneruskan persiapan haji dengan mengambil kira situasi pandemik dan perkembangan semasa di Arab Saudi.

Pengarah Eksekutif Haji TH Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, perancangan dan persiapan itu telah dilaksanakan sejak musim haji 2020 sebagai usaha memastikan kelancaran urusan jemaah haji Malaysia ketika menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Beliau berkata ia termasuk melaksanakan kursus haji kepada bakal jemaah secara dalam talian iaitu sebanyak 14 siri termasuk tambahan satu siri khusus menekankan prosedur operasi standard (SOP) baharu di Arab Saudi serta hukum hakam ibadat haji dalam suasana semasa penularan wabak COVID-19.

Katanya TH juga giat memastikan bakal jemaah mendapat vaksinasi masing-masing dan lengkap dos COVID-19 seperti yang dikehendaki Arab Saudi sebelum mereka dibenarkan memasuki tanah suci.

Selain itu TH juga telah melaksanakan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan pada tahun terdahulu yang menekankan istitha’ah atau kemampuan menunaikan haji dalam situasi wabak.

“Dalam muzakarah ini penting untuk kita memperhalusi dan memberi ketetapan ibadah haji dalam norma baharu dengan melihat kepada kekangan pergerakan dan terhalang semasa melaksanakan ibadah sekiranya berlaku penularan wabak semasa melaksanakan haji,” katanya dalam temu bual bersama Bernama.

Syed Saleh berkata TH juga telah melaksanakan perjumpaan dengan pihak pengendali operasi di tanah air melibatkan stesen berlepas dan mengadakan bengkel bersama Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mendapat panduan serta memastikan SOP petugas dan protokol kesihatan dijaga.

Beliau berkata pasukan kesihatan KKM akan ditempatkan di lapan stesen berlepas di Malaysia bagi memantau kesihatan jemaah sebelum berangkat ke tanah suci, selain TH juga akan menambah jumlah petugas kesihatan terutama pasukan kesihatan awam untuk ditempatkan di tiga lokasi utama iaitu di Jeddah, Madinah dan Mekah.

“Kebiasaannya pada musim haji sebelum ini, kita mempunyai 260 petugas perubatan daripada pelbagai kategori termasuk doktor pakar, jururawat dan ahli farmasi, namun disebabkan COVID-19, kita perlu menambah sekurang-kurangnya 30 lagi petugas kesihatan untuk menguruskan keselamatan dan kesihatan jemaah haji,” katanya.

Tambah beliau, langkah itu turut mengambil kira kemudahan isolasi di hotel penginapan, penyediaan peralatan perubatan seperti ventilator dan pakaian perlindungan diri (PPE) serta ubat-ubatan.Malah sebagai persediaan, TH telah menjalankan perancangan senario dengan memperincikan tindakan yang perlu diambil pada setiap peringkat aktiviti haji di tanah air dan Tanah Suci dengan pelbagai senario yang mungkin dihadapi sepanjang operasi haji.

Petugas juga dibekalkan dengan latihan, ilmu dan persiapan mental secukupnya untuk menghadapi situasi norma baharu dalam menjaga nyawa jemaah haji, sekali gus bersedia menjadi petugas barisan hadapan apabila musim haji tiba.

“Sekiranya berlaku kes positif COVID-19 dalam kalangan jemaah haji Malaysia, pertamanya kita akan tertakluk kepada SOP daripada Kementerian Kesihatan Arab Saudi dan itu kita akan lihat apa SOP mereka berdasarkan perkembangan semasa COVID-19.

“Keduanya, kita perlu menilai jangkitan COVID-19 iaitu sekiranya pada tahap satu dan dua kita boleh kendalikan sendiri di hospital kita dahulu melainkan tahap empat dan lima yang memerlukan kemudahan di ICU, maka kita akan hantar ke hospital Arab Saudi,” katanya.

Kos haji dijangka akan meningkat dengan sebahagian besar berkait rapat dengan penjarakan fizikal seperti had kapasiti bilik hotel dan bas, selain pergerakan jumlah jemaah di dalam Masjidil Haram yang turut dihadkan.

Beliau berkata ini berdasarkan kos berkaitan SOP norma baharu, kenaikan kos operasi dan kos-kos lain di Malaysia dan Arab Saudi.”Saya lihat ini memberi impak kepada kos haji akan datang kerana baru-baru ini sahaja jemaah haji perlu membayar sekitar RM15,000 hingga RM20,000 untuk lima hingga tujuh hari, melibatkan tiga lokasi iaitu Arafah, Muzdalifah dah Mina serta melaksanakan tawaf dan saie sahaja.

“Kos itu tidak termasuk kos penginapan hotel di Mekah dan Madinah serta makan minum, juga penerbangan dari Malaysia dan Arab Saudi, jadi bakal jemaah perlu bersedia dengan peningkatan kos ini,” katanya.

Sebagai perbandingan, bayaran haji pada 2019 ialah RM9,980 seorang untuk tempoh 40-45 hari,’ katanya.Beliau berkata dari segi perkhidmatan, bagi memudahkan para jemaah, TH juga akan melancarkan TH Hujjaj pada musim haji akan datang, iaitu aplikasi yang memuatkan pelbagai maklumat penting untuk jemaah haji membuat rujukan dan panduan mengenai ibadah haji, kesihatan dan waktu solat sekali gus melancarkan pengurusan jemaah.

Di samping itu platform e-Taib (Talian Ibadah-Pusat Panggilan) akan diteruskan bagi membolehkan jemaah haji mendapatkan penjelasan dan bimbingan kepada persoalan ibadah haji dengan pantas dan berkesan melalui aplikasi WhatsApp.- BERNAMA

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts