home Semasa Tenangkan jiwa dengan kembali kepada ALLAH SWT

Tenangkan jiwa dengan kembali kepada ALLAH SWT

 

SHAH ALAM – Umat Islam dinasihatkan untuk kembali ke jalan ALLAH SWT bagi menenangkan jiwa mereka selain dapat meningkatkan keimanan.

Ketua Muslimat Pas Malaysia, Senator Nuridah Mohd Salleh berkata, lumrah hidup manusia akan diduga dengan pelbagai cabaran sama ada dalam keluarga, masyarakat mahupun di tempat kerja kerana dunia adalah pentas ujian.

Menurutnya, sebagai orang Islam, kita perlu sedar tujuan kita dicipta adalah untuk mengabdikan diri dan berusaha sedaya upaya bagi merapatkan diri kepada ALLAH SWT.

“Ceritakanlah masalah kepada ALLAH SWT. Kita tahu hidup ini memang tempat susah dan tempat senang ialah di syurga, jadi perlu sabar.

“Tidak apa untuk merintih dan merengek kepada ALLAH SWT dan jangan bimbang kerana ALLAH SWT sentiasa memerhati kita, insya-ALLAH ada jalan keluar untuk semua masalah,” katanya dalam program Sinar Live bertajuk Ustazah Nuridah: Kisah cikgu sekolah hingga Dewan Negara pada Isnin.

Mengulas lanjut mengenai isu rasuah yang berlaku dalam kalangan wanita, Nuridah berkata, isu tersebut sebenarnya berlaku disebabkan godaan hawa nafsu manusia itu sendiri.

Jelasnya, rasuah merupakan gejala tidak bermaruah yang akan merosakkan masyarakat dan generasi akan datang.

“Amat mendukacitakan apabila mengetahui ada anak-anak muda yang mula terlibat dengan rasuah. Sayanglah generasi akan datang kalau ini berleluasa.

“Sebagai ibu juga, kita seharusnya mula terapkan dalam jiwa anak-anak tentang rasuah dan beri penerangan yang jelas tentang isu tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi pesanan ibunya yang tidak menggalakkan anak menangis terlalu lama tanpa dipujuk bagi mengelakkan mereka menjadi keras hati.

“Kadang-kadang ada ibu bapa yang biarkan anak menangis sampai berguling-guling, sehingga mereka diam sendiri.

“Saya tidak suka begitu, memang saya garang tapi pada masa sama saya akan cuba memujuk kerana anak-anak sebenarnya akan meluahkan perasaan dengan cara menangis.

“Saya selalu amalkan membaca ayat terakhir surah Al-Imran kepada anak-anak untuk menenangkan mereka,” katanya. -Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *