‘Tiada makna tanggal alat pengesan logam, tapi pasang pula kamera kawalan’

 

JERUSALEM – Pemimpin Islam di Masjidil Aqsa hari ini menolak keputusan Israel untuk menarik balik sebahagian peraturan terhadap tanah suci ketiga umat Islam, sambil menggesa warga Palestin terus melakukan pemboikotan, sehingga status quo dikembalikan.

Israel semalam memutuskan untuk membuka alat pengesan logam yang dipasang di pintu masuk Masjid Al-Aqsa, sebelum ini.

Bagaimanapun, langkah Israel untuk mengurangkan langkah kawalan keselamatan di pintu masuk itu ditolak oleh pentadbir wakaf masjid berkenaan.

“Tiada kemasukan ke Masjid Al-Aqsa sehinggga semua keadaan dipulihkan sebagaimana sebelum 14 Julai lalu,” kata pentadbir wakaf Masjid Al-Aqsa dalam satu kenyataan.

Bekas Mufti Al-Aqsa, Ikrima Sabri berkata, masalah itu tidak selesai kerana, walaupun pasukan keselamatan rejim Israel menanggalkan alat pengesan logam, tetapi mereka meletakkan halangan lain yang lebih bahaya sehingga mengubah status quo Masjidil Aqsa.

“Sehingga kini, kami tidak mengetahui apa yang mereka lakukan. Di mana kamera diletakkan. Tetapi, pengarah pentadbiran wakaf akan memaklumkan semua pelanggaran yang dilakukan rejim Israel,” katanya.

Selepas tengah malam semalam, kira-kira 30 kenderaan diiringi beratus-ratus tentera rejim Israel menutup Bab al-Asbat. Saksi memberitahu askar Israel membuka alat pengesan logam, tetapi memasang berpuluh-puluh kamera litar tertutup (CCTV).

 

 

Aktivis Palestin di Jerusalem, Mohammad Abu al-Hommos berkata, masalah sekarang ialah berkaitan kawalan dan kuasa ke atas Masjidil Aqsa.

“Rejim Israel tidak mahu berurusan dengan pentadbir wakaf, sebaliknya mengambil langkah sendiri dengan memantau rakyat Palestin menerusi kamera,” katanya.

Walaupun alat pengesan logam sudah dibuka, pemerhati mengatakan bahawa pemasangan CCTV adalah ancaman yang lebih besar kepada rakyat Palestin, yang menunjukkan satu lagi pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh rejim Zionis.

Penganalisis politik, Khalil Shaheen berkata, kamera yang dipasang itu dapat mengesan wajah dan identiti siapa sahaja yang memasuki Masjidil Aqsa dan ini bermakna Israel sudah melakukan kawalan sepenuhnya ke atas Baitulmaqdis.

“Peranan Jordan sebagai penjaga tanah suci itu sedang diketepikan, manakala kehadiran pengawal Palestin menjadi tidak sah, kerana pengawal sebenarnya berada di belakang skrin kamera itu,” katanya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts