Makanan tidak baik jadi punca hati gelap

Menjadi kewajiban setiap umat Islam untuk mencari makanan yang halal lagi baik kerana ALLAH SWT tidak menciptakan sesuatu itu dengan sia-sia, kata pendakwah Wan Akashah Wan Abdul Hamid.

Firman ALLAH SWT: “Wahai sekalian manusia, makanlah kamu dari (hasil) yang terdapat di atas muka bumi (makanan) yang halal lagi baik.” (Surah al-Baqarah, ayat 168)

Ujar Wan Akashah, betapa signifikannya makanan dan minuman halalan toyyiban itu kepada kehidupan kita kerana ia membentuk karakter dan keperibadian seseorang.

Beliau berhujah dengan mengambil contoh kisah yang berlaku ke atas Nabi Adam AS. Baginda digoda oleh syaitan supaya memakan buah khuldi yang dilarang oleh ALLAH SWT sehingga diusir dari syurga dan turun ke bumi.IKLAN

“Melihat contoh itu, jelaslah antara punca manusia mudah terpengaruh (bisikan syaitan) hasil daripada makanan dan minuman tidak halal. Iblis menggoda Nabi Adam AS dengan makanan.

“Sedarlah bahawa makanan dan minuman yang tidak halal sebenarnya akan membentuk peribadi yang tidak baik. Begitulah sebaliknya jika makanan yang halal lagi baik akan membentuk peribadi yang baik,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Ketahuilah bahawa makanan yang tidak baik akan melahirkan generasi yang sebegitu dan sukar untuk dibentuk, ungkapnya.

“Malah, hati mereka menjadi gelap, ilmu yang diajar akan keluar dan masuk. Kesilapan umat Islam pada hari ini melihat bahawa makanan yang haram hanyalah khinzir, anjing dan haiwan yang tidak disembelih. Sedangkan ia hanyalah pada zat makanan itu sendiri.

“Hakikatnya segelintir dalam kalangan kita terlupa bahawa sumber pendapatan atau membeli makanan daripada perkara yang diharamkan juga adalah haram. Ia dilarang sama sekali seperti memakan haiwan yang disebutkan tadi. Umpamanya terlibat dengan rasuah, merompak dan sebagainya,” katanya.

Wan Akashah kemudian menceritakan kisah yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW. Ketika sedang berceramah di dalam masjid, tiba-tiba ternampak seorang kanak-kanak yang berperangai pelik.

“Lalu ditanyakan anak siapakah itu? Baginda juga menyatakan anak tersebut bersikap sedemikian makan dari sumber yang tidak baik.

“Apabila sahabat yang juga bapa kepada anak tadi mendengarnya, beliau pulang ke rumahnya dan mencari sumber yang dikatakan tidak baik. Akhirnya barulah diketahui puncanya. Anak itu rupa-rupanya telah memakan buah dari pokok ditanam jirannya tanpa meminta izin.

“Walaupun buah pada pohon tersebut masuk dalam kawasan kediamannya, ia masih dikira syubhah (diragui). Justeru, berhati-hatilah dengan soal halal dan haram kerana kedua-duanya jelas diperincikan dalam nas,” jelasnya. – Sinar Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts