Perjuangan bersama Rasulullah zaman

Nabi Muhammad SAW sebagai contoh teladan kehidupan yang tidak asing lagi buat Umat Islam keseluruhan, bahkan di kalangan pemikir barat melakukan kajian dan mereka mendapati susuk tubuh yang sangat hebat ini dijuarai oleh Rasulullah SAW dalam semua aspek kehidupan. Keperibadian Rasulullah SAW telah dilakari di dalam sejarah untuk dijadikan teladan dan pedoman dalam mengharungi kehidupan.

لقد كان لكم فى رسول الله أسوة حسنة لمن كان يرجوا الله واليوم الآخر
Maksudnya : Demi sesungguhnya untuk ikutan kamu pada diri Rasulullah S.A.W itu satu ikutan yang baik bagi sesiapa yang mengharapkan redha Allah dan balasan baik di akhirat kelak. (Surah al-Ahzab ayat 21)

Ramai di kalangan umat Islam menyangka kehidupan dan perjuangan Rasulullah SAW hanya tatapan di dalam penulisan dan pembasah halwa telinga ketika sambutan maulidur rasul saban tahun dan sebagainya. Bahkan sebaliknya ada yang terlalu ekstrim sehingga memberi tanggapan dan salah faham terhadap perjuangan Rasulullah SAW untuk agama ini seperti hanya memfokuskan hukuman hudud, jihad dan peperangan dan seumpamanya.

Tidak dinafikan sunnah baginda Nabi SAW dalam makan, berpakaian dan adab-adab yang lain harus menjadi ikutan dan teladan buat Umat Islam. Hakikatnya kehidupan Rasulullah SAW adalah berkisar pada paksi perjuangan dan pengorbanan, bukan semata-mata ketokohan dan keperibadiaan. Nabi SAW mengingatkan kepada kita bahawa Nabi SAW akan bersama dengan mereka yang mencintainya. Persoalannya apakah erti cinta yang melayakkan kita bersama dengan Rasulullah SAW? Adakah cukup dengan hanya sekadar mendiamkan diri beruzlah menjaga diri sendiri tanpa memikirkan perihal Ummat?

Umat Islam perlu menghadirkan rasa ghairah (cemburu) terhadap agama apabila serangan terhadap agama berlaku pada segenap penjuru oleh pelbagai pihak, termasuk penghinaan terhadap Al-Quran, dan sebelum ini kepada batang tubuh Rasulullah SAW itu sendiri. Mana mungkin jiwa boleh bersangka baik kepada musuh-musuh Islam setelah nampak terang lagi bersuluh bukti-bukti mereka merendahkan ketinggian agama Islam dan menghina baginda SAW? Apakah hanya bermunajat siang malam cukup untuk memenangkan agama ini, lalu dikatakan telah bersama perjuangan Rasulullah SAW?.

Ayuh,kita jadikan sambutan Maulidur Rasul yang kita ucapkan kepada Rasulullah SAW adalah sebagai bentuk muhasabah dan menjadi pengorak langkah dalam mempertahankan ketinggian dan kesucian Islam. Ia bermula dengan pembentukan peribadi muslim bagi setiap lelaki dan perempuan muslim menjadikan Al Quran dan hadis Rasulullah SAW sebagai pedoman dalam kehidupan.

Antara perjuangan Rasulullah SAW di akhir zaman yang perlu dilakukan oleh setiap umat Islam adalah memikul tanggungjawab fardhu kifayah dalam ummah ini, iaitu melaksanakan amar nahi mungkar.

Umar Al-Khattab RA apabila ditanya, adakah boleh hancur sesuatu bandar/kampung sedangkan ia sangat maju dan makmur ? Jawab Umar : Ya, apabila golongan yang jahat menguasai golongan yang baik. 

Justeru, tidak dapat tidak setiap dari kita bertanggungjawab dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan agama ini, berkorban dalam memastikan keutuhan agama ini menjadi paksi dalam sebuah kehidupan manusia.

            Justeru, antara saranan dan usaha yang boleh dilakukan dalam memastikan kita bersama perjuangan Rasulullah SAW adalah:

  1. Hendaklah kita kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dengan menjadikan Al Quran dan hadis Rasulullah SAW sebagai panduan dan pedoman di dalam kehidupan. Susuk tubuh yang berpegang dengan kedua-duanya ini akhirnya diharapkan mampu menjadi susuk peribadi muslim, lalu menjadi qudwah kepada yang lain.
  2. Membaca, meneliti dan memahami sirah junjungan besar baginda Nabi SAW lalu diterjemahkan ke dalam kehidupan kita sebagai manusia.
  3. Melaksanakan amar maaruf nahi mungkar. Tidak sesekali membiarkan Islam dihina dan Umat Islam direndahkan maruah dan nilainya. Umat Islam hendaklah bangkit mempertahankan Islam serta mengangkat risalah tauhid ini. Inilah sunnah Rasulullah SAW yang paling besar nilainya iaitu dakwah kepada umat manusia.
  4. Wala wa bara iaitu kesetiaan kepada orang Islam dan berlepas diri dari yang bertentangan dari Islam. Ini kerana persaudaraan di dalam Islam sangat suci dan tinggi kerana prinsip aqidah dan kalimah tauhid Lailahaillallah Muhammadur Rasulullah. Justeru, kita tidak sesekali akan membiarkan musuh-musuh Islam menjadi pemimpin dan memimpin kita.

Semoga perjuangan kita bersama dengan Rasulullah SAW di akhir zaman ini menjadi saham dan jaminan keredhaan Allah dan ganjaran di sisi Allah SWT.

Ustazah Maryam binti Mohd Din

Penyelidik MUIS

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts