Zikir yang diajar Nabi Muhammad SAW adalah paling afdal

Muncul baru-baru ini isu di media sosial berkenaan zikir yang diajar Nabi SAW dan zikir yang diajar tok guru-tok guru tertentu.

Saya berpandangan seperti berikut:

1. Zikir merupakan tuntutan umum yang tidak spesifik kaifiyatnya, yakni kaifiyatnya bukan seperti solat, puasa dan zakat. Jadi oleh kerana ia merupakan tuntutan umum, selagi mana ia tidak bercanggah dengan landasan syariah selagi itu ia diterima.

2. Saranan Rasulullah SAW terhadap zikir tertentu dan sebahagiannya dengan bilangan tertentu adalah saranan terbaik yang selayaknya diambil berat dalam amalan seharian seseorang muslim. Ini tiada perbezaan pendapat terhadapnya.

3. Dalam menanggapi perihal zikir ini, sebahagian ahli ilmu atau ahli bidang membina satu peta jalan tertentu bagi seseorang yang sedang melalui satu perjalanan tarbiyah dalam mendidik jiwanya.

4. Konsep ini yang mungkin kita boleh sebut konsep pembelajaran yang berfasa yang dibina oleh para ulama dalam menanggapi hakikat sebenar zikir yang memberi kesan kepada hati, khusyuk, membasahkan jiwa dan menjadikan zikir sebagai suatu kebiasaan seseorang.

5. Seperti mana para fuqaha menulis kitab fiqh, para ahli hadis menghimpunkan hadis, semua itu adalah suatu inisiatif terpuji bagi memastikan umat ini benar-benar melalui suatu jalan yang benar, dalam mengikuti Rasulullah SAW. Demikian juga para ahli bidang tarbiyah jiwa membentuk suatu perjalanan khusus dalam menanggapi pembinaan jiwa yang benar dan sempurna.

6. Sekiranya umat ini dibiarkan sahaja dengan hadis-hadis yang dihimpunkan, dengan harapan mereka akan menjadi macam sahabat RA dalam menanggapi saranan Rasulullah SAW, nescaya mereka akan sesat barat dan akan juga menulis dan mencipta suatu kaedah yang lain untuk menanggapinya. Sebab itu kita pada zaman kini perlu memahami hadis selepas memahami fiqh, bukan sebaliknya. Ini kerana memahami hadis memerlukan suatu ‘kefahaman fiqh yang jelas’ supaya hadis-hadis yang dibaca diamalkan dengan baik.

7. Oleh itu, tok guru-tok guru yang mengajarkan zikir tertentu, kebiasaannya dia melihat kepada keadaan anak muridnya dan fasa perkembangan jiwanya. Ibarat seorang guru yang nak mengajar anak muridnya membaca, dia perlu dikenalkan hurufnya dahulu, cara sebutan suku katanya dan seumpamanya.

8. Peranan zikir tertentu yang diajar itu bukanlah ditanggapi dari sudut syariat yang asas yang perlu dipegang oleh semua orang dan diaplikasi kepada seluruh umat, tetapi ia harus ditanggapi sebagai suatu metodologi dan wasilah pembelajaran yang dilalui untuk mencapai suatu matlamat yang akhir, iaitu jiwa yang mencapai martabat ihsan.

9. Jika sekiranya seseorang itu tidak mahu mengikuti metodologi itu, ia tidak bermasalah. Tetapi janganlah pula dia dengan mudah membid’ahkan atau menyalahkan orang yang melaluinya. Sudut pandangan tok guru yang memberi zikir tertentu itu bukan dari sudut semata-mata Nabi SAW suruh, berdasarkan sesuatu dalil khusus, tetapi ia adalah suatu cerapan umum terhadap kaedah pembentukan jiwa, yang difahami secara induktif, daripada dalil-dalil am secara menyeluruh.

10. Oleh itu dalam membicara perihal-perihal begini, sewajarnya dijelaskan dahulu apakah kedudukan dan letak duduk perbincangannya, sebelum menghukum seseorang atau sesuatu perkara yang kita pun belum memahaminya lagi.

Wallahua’lam bissawaab.

Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa
Pengarah Sekretariat
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts